BUKIT BINTANG 17 Sept – Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Zainal Rafique menegur kenyataan Ketua Bahagian MCA Bukit Bintang, Gan Joon Zin yang dilihat cuba menyalahkan UMNO sebagai punca menyebabkan sokongan kaum Cina terhadap MCA dan Barisan Nasional (BN) kini beralih kepada parti pembangkang.

Menurut beliau, Gan Joon Zin tidak sepatutnya menyalah pihak lain di atas kelemahannya sendiri kerana gagal menarik semula sokongan kaum Cina terhadap parti itu.

“Saya rasa tak sepatutnya Ketua Bahagian MCA Bukit Bintang buat kenyataan seperti itu. Jangan kita salahkan orang lain untuk tutup kelemahan kita sendiri. Jika berada dalam keadaan lemah, sepatutnya Gan berusaha untuk memperbaiki kelemahan di dalam MCA dan bukannya menyalahkan pihak lain.

“Sikap menunding jari dan menyalahkan pihak lain tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan. Saya cadangkan kepada Gan agar kerap turun padang dan bertemu dengan kaum Cina untuk mengetahui apa masalah mereka dan selesaikan masalah itu.

“Jika kita hanya turun padang setahun sekali, atau pun bila tiba waktu pilihanraya sahaja, sudah tentu matlamat untuk memulihkan kembali sokongan kaum Cina terhadap BN, khususnya MCA tidak akan berjaya. Jadi saya nasihatkan beliau supaya keraplah turun padang dan permudahkan segala protokol agar rakyat senang untuk bertemu dengan kita,” ujarnya.

Baru-baru ini, Ketua Bahagian MCA Bukit Bintang, Gan Joon Zin dalam satu kenyataanya di sebuah portal berita menyalahkan UMNO ekoran kegagalan MCA untuk memulihkan kembali sokongan kaum Cina terhadap parti tersebut.

Tambah Zainal lagi, sepanjang beliau menerajui UMNO Bahagian Bukit Bintang, pelbagai program yang telah dilakukan termasuklah di kawasan-kawasan majoriti kaum Cina seperti di kawasan  Jalan Alor dan sebagainya.

img-20160915-wa0014

“Kami buat program kenduri rakyat di kawasan Jalan Alor. Itu kawasan kaum Cina tapi UMNO masuk ke kawasan tersebut dan buat program di situ. Jika UMNO boleh buat program di kawasan kaum Cina seperti di Jalan Alor, mengapa MCA sebagai sebuah parti politik yang mewakili kaum Cina tidak boleh buat program di situ?

“Saya kira kepimpinan MCA di peringkat bahagian perlu lebih kerap turun padang. Kita tidak boleh membiarkan ada kasta dalam hubungan kita bersama rakyat. MCA perlu menyelami apa sebenarnya kehendak rakyat dan perlu tahu apa sebabnya kaum Cina hari ini menolak MCA.

“Namun jika kita bersikap asyik mahu menyalahkan orang lain untuk menutupi kelemahan kita, perkara itu tidak akan membawa apa-apa kebaikan untuk BN, khususnya terhadap MCA itu sendiri.

“Jadi adalah lebih baik hari ini Gan menumpukan fokus bagaimana untuk mengembalikan sokongan kaum Cina terhadap MCA dan BN di kawasan Bukit Bintang, daripada terus bersikap menyalahkan pihak lain untuk menutup kelemahan sendiri,” tegasnya.