KUALA LUMPUR, 11 Mei – Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Zainal Rafique berkata, kini jelas bahawa tindakan Dap yang giat merekrut anak muda Melayu untuk menyertai mereka termasuklah meletakkan anak-anak muda Melayu menjadi calon pilihanraya sebagai wakil parti tersebut, merupakan misi tersirat Dap untuk agenda cauvinis dan rasis mereka.

Menurut beliau, berdasarkan ucapan salah seorang penceramah Dap, Hew Kuan Yau tidak diragui lagi bahawa tindakan Dap menarik anak muda Melayu untuk menyertai mereka bukan untuk menjaga kepentingan bangsa Melayu di negara ini, tetapi semata-mata untuk merealisasikan agenda politik mereka yang mahu menghancurkan kekuatan politik bangsa Melayu di negara ini.

Hew Superman Rasis“Selama ini Dap berulang kali mendakwa bahawa parti mereka itu parti berbilang kaum. Mereka mula merekrut anak-anak muda Melayu kononnya untuk memperlihatkan bahawa Dap bukan parti untuk satu kaum sahaja, tetapi untuk semua kaum.

“Namun apabila kita mendengar ceramah Hew Kuan Yau dalam kempennya di Sarawak baru-baru ini, maka ternyatalah Dap sebenarnya mempergunakan anak-anak Melayu itu untuk mencengkam bangsa Melayu itu sendiri.

“Ceramah yang diberikan oleh Hew itu memperlihatkan ideologi rasis dan cauvinis sememangnya menjadi pegangan kepimpinan Dap dari peringkat atas dan berakar umbi sehingga ke peringkat bawahan, biarpun Dap cuba menafikannya,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, kata-kata Hew itu juga membuktikan bahawa selama ini kepimpinan Dap berbohong kepada rakyat Malaysia, apabila mendakwa parti tersebut akan membela nasib semua kaum sedangkan hakikatnya agenda politik mereka sarat dengan perancangan yang bersifat rasis dan hanya akan memihak kepada penyokong-penyokong Dap sahaja.

“Pada pandangan saya, bukan hanya segelintir orang Melayu sahaja yang tertipu dengan pembohongan mereka itu bahkan kaum Cina dan India juga turut tertipu dengan retorik politik Dap yang cuba menyembunyi politik kebencian yang menjadi agenda sulit mereka itu.

“Sebab itulah kita lihat di Pulau Pinang, tidak ada langsung projek pembangunan untuk rakyat termiskin dan sederhana di kawasan tersebut contohnya seperti perumahan rakyat termiskin. Ini semua sedia maklum golongan mana rakyat miskin dan berpendapatan sederhana di negeri tersebut.

“Mereka sebenarnya langsung tidak memikirkan nasib rakyat yang berpendapatan sederhana, tetapi lebih sibuk memikirkan untuk membina dan menjual hartanah di negeri tersebut kepada rakyat luar yang kaya raya. Sehingga ke hari ini kita dapat lihat tidak ada sebarang projek perumahan untuk rakyat termiskin yang dilaksanakan oleh Dap di negeri tersebut.

“Begitu juga jika dilihat daripada sejarah parti itu sendiri, di mana tidak ada bangsa lain selain daripada bangsa Cina yang boleh memegang jawatan tertinggi pusat di dalam parti tersebut. Tidak ada pemimpin Melayu yang boleh bertahan di dalam Dap kerana ideologi dan agenda parti tersebut hanyalah untuk kepentingan satu kaum sahaja,” tegasnya.

Beliau seterusnya menyeru kepada rakyat di negara ini agar menolak parti yang membawa pendekatan rasis yang boleh merosakkan keharmonian dan sikap toleransi antara kaum yang sejak sekian lama telah disemai di negara ini.

“Di Sarawak, rakyat sudah mula sedar bahawa Dap bukanlah satu parti yang boleh diberikan harapan untuk menjadikan negara ini lebih baik dan makmur. Ini terbukti apabila mereka kalah lima kerusi yang sebelum ini mereka kuasai dalam PRN Sarawak baru-baru ini.

“Saya yakin, rakyat di Sarawak menolak Dap kerana mereka telah sedar bahawa sikap dan pendekatan parti itu yang rasis serta cauvinis selama ini hanya akan merosakkan masa depan negara serta keharmonian dan toleransi yang sudah terbentuk antara pelbagai kaum selama ini.

“Demi untuk masa depan yang lebih baik, demi untuk mengeratkan keharmonian dan toleransi antara kaum di negara ini, maka amat wajarlah kita menolak parti seperti parti Dap yang hanya tahu menggunakan sentimen kebencian dan hasutan berbaur perkauman sebagai modal politik mereka, di mana pendekatan yang digunakan mereka itu tidak akan membawa apa-apa kebaikan untuk rakyat dan negara ini,” jelasnya.