KUALA LUMPUR, 16 Sept – Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap penganjur perhimpunan yang merancang mengadakan perhimpunan Bersih 5 di ibu negara pada 19 Nov ini.

Presiden IRIMM, Amir Amsaa Alla Pitchay berkata dengan penganjuran perhimpunan itu boleh menggugat keamanan dan keharmonian di negara ini.

“Para peniaga, pemandu teksi dan rakyat akan mengalami kerugian pada hari tersebut dan mereka bimbang akan berlaku insiden yang tidak diingini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, tengah hari tadi.

Laporan media sebelum ini melaporkan Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah  telah menetapkan tarikh perhimpunan itu dan dikatakan beberapa acara konvoi seluruh negara akan dianjurkan menjelang perhimpunan itu, yang bermula pada 1 Okt nanti.