KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Zainal Rafique menyifatkan sajak hasil nukilan Zurinah Hassan yang dibacakan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika merasmikan persidangan UMNO Bahagian Segambut amat sesuai untuk dihayati bait-bait katanya yang begitu bertepatan dengan situasi politik yang sedang dihadapi oleh kebanyakan ahli UMNO hari ini.

Menurut beliau, sajak tersebut yang menceritakan tentang keluh kesah hati pahlawan Melayu, Hang Tuah apabila mengetahui sahabatnya Hang Jebat telah menderhaka kepada Sultan kerana menyangkakan bahawa Hang Tuah telah mati dibunuh oleh Sultan.

datuk-zainal-abidin

“Bagi saya sajak yang dibacakan oleh Naib Presiden kita, Datuk Seri Hishammuddin itu cukup untuk menggambarkan perasaan yang berselirat di dalam dada orang-orang UMNO hari ini. Namun kita di dalam UMNO lebih bagaikan Hang Tuah, yang terikat dengan ketaatan dan kesetiaan dalam perjuangan agama dan bangsa, terpaksa juga akhirnya menentang Hang Jebat, malah akhirnya membunuh si Jebat yang merupakan sahabat baiknya.

“Simboliknya dalam nukilan sajak ini menggambarkan bahawa Tuah bukanlah membunuh Jebat kerana ketaatannya yang melulu kepada Sultan, tetapi Tuah membunuh Jebat kerana tidak mahu sikap penderhakaan dan perebutan kuasa kelak berleluasa sehingga membunuh dan merosakkan bangsanya sendiri.

“Yang dipertahankan Tuah bukanlah semata-mata Sultan tetapi Kerajaannya. Yang dibunuh oleh Tuah bukanlah Jebat tetapi Tuah sebenarnya membunuh sikap derhaka dan perebutan kuasa yang boleh membinasakan kerajaan dan bangsanya,” jelas beliau kepada UMNO-Online ketika merumuskan falsafah yang terkandung di dalam sajak tersebut.

Beliau juga yakin bahawa konflik dan gelodak jiwa yang diterjemahkan dari nukilan sajak tersebut adalah sama seperti apa yang dirasai oleh keseluruhan ahli-ahli UMNO pada hari ini.

“Senario politik UMNO hari ini boleh kita lihat biasan-biasan sikap seperti Jebat mula muncul satu persatu. Mereka keluar dari jemaah yang besar (UMNO) dan membentuk jemaah-jemaah kecil yang mahu menentang dan membunuh UMNO. Malah ada di antara mereka itu adalah mantan-mantan pemimpin yang satu ketika dulu disanjung dan dijulang oleh ahli-ahli UMNO itu sendiri.

“Saya yakin, ahli-ahli UMNO sendiri sedar bahawa bersikap seperti Tuah akan menyebabkan mereka dicemuh, dihina, dikeji malah ada yang dipulaukan kerana segelintir sahabat-sahabat itu menyangka kita sedang mempertahankan pemimpin.

“Sedangkan hakikat sebenarnya kita hari ini sedang mempertahankan institusi kepimpinan Melayu daripada diroboh dan dihancurkan demi kelangsungan Islam dan bangsa untuk anak cucu kita kelak,” tegasnya.