PUTRAJAYA, 18 Sept – Putera MIC hari ini melancarkan aplikasi mobil untuk melibatkan pelajar di institusi pengajian tinggi melalui platform teknologi.

Aplikasi mobil itu, dikenali sebagai Putera MIC yang akan menjadi medium dan alat komunikasi antara pelajar dan pasukan Putera MIC dilancarkan oleh Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam di sini hari ini.

Ketika ditemui pemberita selepas pelancarannya, beliau berkata pelancaran aplikasi itu kena pada masanya dan selari dengan objektif parti untuk mendekati generasi muda bagi memahami keperluan dan jangkaan mereka.

Dr Subramaniam berkata, pada masa ini terdapat 20,000 pelajar kaum India di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara dan beliau berharap mereka semua mengambil peluang untuk menggunakan aplikasi mobil ini.

Antara ciri-ciri aplikasi tersebut ialah maklumat terkini mengenai isu-isu nasional berkaitan pelajar, maklumat terkini mengenai program dan aktiviti Putera MIC serta maklumat mengenai peluang pendidikan, pinjaman, biasiswa dan fellowship bagi pengajian tinggi.

Aplikasi itu juga mempunyai ciri-ciri komunikasi dua hala yang membolehkan pelajar membuat pertanyaan dan permintaan secara online dan maklum balas akan diterima dalam tempoh 48 jam.

Beliau berkata pelajar juga boleh menggunakan aplikasi tersebut untuk menjadi sukarelawan Putera MIC.

Aplikasi mobil Putera MIC boleh dimuat naik menerusi Play Store bagi peranti Android dan App Store untuk peranti Apple secara percuma.