KUALA LUMPUR, 6 Okt – Syarikat korporat di negara ini digesa bekerjasama dengan pemborong beras Bumiputera dalam meningkatkan jualan yang mampu menguntungkan kedua-dua pihak.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata syarikat korporat boleh membantu menerusi dasar serta polisi yang fleksibel atau program pembangunan perniagaan.

“Saya yakin melalui usahasama dibentuk ini akan membawa lebih banyak faedah dan kekuatan. Ia juga akan buka lebih banyak peluang perniagaan untuk diteroka demi
memacu kedua-dua pihak agar lebih maju ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Cabutan dan Penyampaian Hadiah Utama Peraduan 48 Tahun Setia Bersama Faiza, di sini hari ini.

Menurutnya terdapat 3,500 pemborong beras Bumiputera di seluruh negara ketika ini, namun peratusan pemborong yang aktif adalah sedikit apabila program subsidi beras Super Tempatan 15 peratus hancur (ST15) dimansuhkan.

“Harga syarikat pemborong beras Bumiputera yang mempunyai jenama produk beras sendiri, mampu bertahan meneruskan perniagaan secara proaktif,” katanya.

Awal November lepas, kerajaan memansuhkan program subsidi ST15 berikutan terdapat banyak masalah ketirisan antaranya beras tersebut boleh dibeli oleh bukan warganegara.

Pada masa sama, Tajuddin turut melahirkan kekecewaan terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak serius membantu pemborong beras Bumiputera untuk mengekalkan perniagaan mereka.

“Melalui pemerhatian saya, GLC tidak banyak bantu pemborong beras Bumiputera. Mereka hanya mahu kaut keuntungan. Bagi saya GLC belum berjaya membantu komuniti usahawan Bumiputera,” katanya.

Mengenai produk makanan Bumiputera, Tajuddin berkata pemain industri tersebut perlu mencontohi syarikat Faiza dalam meningkatkan jualan serta mengukuhkan jenama produk mereka di pasaran.