SEREMBAN, 14 Okt – Empat kawasan di pusat peranginan Port Dickson termasuk Pantai Bagan Pinang, Batu 3 dan Pantai Saujana, Batu 4 dijangka mengalami fenomena air pasang besar.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Port Dickson Muhammad Isa Md Onzer berkata kawasan lain ialah Pantai Teluk Kemang di Batu 8 dan Pantai Tanjung Biru atau Blue Lagoon di Batu 10.

Beliau berkata fenomena itu dijangka berlaku esok sehingga 20 Okt yang menyebabkan ketinggian paras ombak mencapai 2.5 meter hingga 3.5 meter.

“Justeru itu, para pengunjung dinasihatkan peka dengan fenomena air pasang besar dan mematuhi semua arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,”katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga akan mengibarkan bendera merah di menara penyelamat pantai sebagai tanda amaran kepada pengunjung supaya tidak melakukan aktiviti pantai dalam tempoh berkenaan.

Selain itu, nelayan bot-bot kecil diminta mengehadkan aktiviti di pantai sebagai langkah keselamatan.