KOTA KINABALU, 14 Okt – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan di Sabah bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan rasuah projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion.

Sumber yang rapat dengan pasukan siasatan SPRM berkata suspek berusia 62 berkenaan menjadi timbalan pengarah di jabatan itu selama hampir 11 tahun sebelum bersara tahun lalu dan dilantik menjadi penasihat teknikal dan kejuruteraan di sebuah agensi kerajaan.

“Suspek ditahan di pejabatnya semalam,” kata sumber yang rapat dengan pasukan SPRM itu.

Sumber itu berkata siasatan awal mendapati suspek tersebut iaitu suspek kelima ditahan SPRM, juga menerima sejumlah wang daripada kontraktor ketika memegang jawatan sebagai timbalan pengarah jabatan kerajaan terbabit.

“SPRM telah merampas dua kereta milik suspek iaitu Mercedes Benz dan Land Cruiser. Tiada sebarang rampasan wang tunai dibuat setakat ini,” kata sumber itu lagi.

Sumber itu juga berkata suspek tersebut ditahan reman selama enam hari, mulai hari ini, di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

Sebelum ini, SPRM menahan empat individu termasuk pengarah dan timbalan pengarah jabatan kerajaan berkenaan bagi membantu siasatan kes tersebut.

SPRM antara lain turut merampas lebih RM114.5 juta, barang kemas bernilai RM3.64 juta dan sebanyak 127 geran tanah dianggarkan RM30 juta, yang sekali gus menjadikan kes ini adalah kes terbesar dalam sejarah SPRM.

Siasatan kes itu akan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM, Seksyen 17(a) Akta SPRM, Seksyen 23 Akta SPRM, Seksyen 132 Akta Syarikat, Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Akta Pengubahan Wang Haram.

Sementara itu, sumber tersebut memberitahu setakat ini SPRM telah merakam percakapan kira-kira 78 saksi dan tidak menolak kemungkinan memanggil lebih ramai individu untuk membantu siasatan.