BEAUFORT, 12 Dis – Perpecahan di kalangan masyarakat yang berlaku di sesetengah negara Islam perlu dijadikan pengajaran untuk terus memastikan keharmonian dan perpaduan ummah dikekalkan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Berucap merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri, Musa berkata, negara-negara yang telah musnah akibat persengketaaan merindui semula keamanan yang sangat berharga.

 “Apakan daya nasi sudah menjadi bubur. Akibat ghairah berpecah, mengabaikan nilai ukhuwah dan memandang enteng perpaduan ummah, maka kesan diterima ialah kekacauan, hilang keamanan, kemalaratan dan kemusnahan.
“Oleh itu, amat penting untuk kita mensyukuri dan memelihara nikmat keamanan dan keharmonian yang dikecapi ketika ini,” katanya pada sambutan itu yang bertemakan ‘Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah’, di sini.
Musa berkata, selain perpaduan sesama umat Islam, ikatan persaudaraan dengan orang bukan Islam juga adalah penting dan harus dipelihara kerana mereka merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat.
Sehubungan itu, Musa mengajak umat Islam Sabah mencontohi hubungan baik Rasulullah S.A.W dengan masyarakat bukan Islam menerusi jaminan kebersamaan hak dan keharmonian pergaulan melalui Piagam Madinah yang dizahirkan baginda demi perpaduan hidup pelbagai kabilah dan agama.
“Sabah adalah negeri yang unik kerana terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang menjadi contoh sebenar mengenai keharmonian dan perpaduan,” katanya.
Musa juga mahu rakyat Sabah terus mempertahan keharmonian dengan menjauhi prasangka dan hasad dengki, selain tidak mudah terpengaruh dengan segala fitnah yang memecahbelahkan ummah.
Dalam pada itu, beliau berkata, keperibadian dan kepimpinan Rasulullah SAW juga perlu diteladani dalam mencapai pelbagai kemajuan serta kecemerlangan termasuk melahirkan modal insan berilmu dan berakhlak.
Terdahulu, Musa mengetuai 73 kontinjen membabitkan 4,500 peserta daripada pelbagai jabatan dan agensi berarak sejauh 3.5 kilometer pada 7.30 pagi.
Perarakan bermula dari Dataran Pesta Bagandang ke Dewan Sri Panglima Haji Mohd Dun Banir itu turut disertai Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin dan Timbalan Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun yang juga anggota Parlimen Beaufort serta menteri-menteri Kabinet
negeri yang lain.
Pada majlis itu, bekas Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah Datuk Ismail Awang Besar, 72, dipilih sebagai Tokoh Lelaki Maulidur Rasul Negeri Sabah manakala bekas Pembantu Menteri Kebajikan Masyarakat semasa pemerintahan kerajaan Berjaya Datin Norsuadah Basah, 63, dinamakan sebagai Tokoh Wanita.