KUALA LUMPUR, 12 Dis – Warga Lembah Klang terutama di ibu kota
akan mempunyai lebih banyak pilihan pengangkutan awam apabila projek Mass Rapid
Transit (MRT) Fasa 1 laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) mula beroperasi Jumaat
ini.

Meskipun projek fasa satu itu hanya melibatkan 12 stesen dari Sungai Buloh
ke Semantan di Damansara, ramai warga kota begitu teruja menanti kehadiran
perkhidmatan tren terbaru itu, terutama pengguna tetap pengangkutan awam.

Rata-ratanya berpendapat perkhidmatan MRT memberikan satu lagi alternatif
atau pilihan baharu pengangkutan awam sebagai tambahan kepada LRT, Komuter,
Monorail dan bas.

Ini akan menjimatkan masa perjalanan mereka ke destinasi.
Pereka Grafik, Arief Irsyad Mohd Yusoff, 27, berkata pembukaan MRT Sungai
Buloh ke Semantan menambah lagi satu kemudahan pengangkutan kepada golongan
pekerja, terutama yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam.

“Ia memudahkan perjalanan saya untuk ke lokasi-lokasi seperti Damansara dan
Bandar Utama yang tidak mempunyai pengangkutan awam.

“Ini dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya di kawasan-kawasan
yang mempunyai kepadatan penduduk,” katanya kepada Bernama.

Pesara swasta Samsudin Jaafar, 63, berkata MRT merupakan salah satu sistem
pengangkutan jangka panjang yang turut memberi faedah kepada generasi-generasi
akan datang.

“Contohnya, bukan setakat warga emas seperti saya yang dapat menggunakannya,
malah ia juga memudahkan anak-anak dan cucu-cucu saya dari zaman persekolahan
hinggalah memasuki alam pekerjaan pun masih bergantung kepadanya untuk ke
mana-mana,” katanya.

Pegawai Perhubungan Awam Rawahah Mohd Fadil, 27, berharap pembukaan MRT
dapat mengurangkan kesesakan orang ramai semasa menggunakan sistem pengangkutan
awam lain seperti LRT, Monorail dan bas terutama pada waktu kemuncak.

“Selalunya apabila tiba waktu kemuncak, stesen-stesen LRT dan bas akan
dipenuhi dengan orang ramai dan kadang kala terpaksa menunggu lama untuk
ketibaan LRT atau bas seterusnya.

“Dengan adanya MRT Fasa 1, ia turut dapat menjimatkan masa perjalanan dan
kesesakan orang ramai dapat dikurangkan di LRT ataupun hentian bas,” katanya.

Pegawai Eksekutif Bisnes, Jaafar Sidek Bahrudin, 43, berkata kemunculan
sistem pengangkutan MRT turut dapat menjimatkan perbelanjaan harian warga kota
dari segi penggunaan kenderaan persendirian.

“Selain dapat menjimatkan petrol dan tol, mereka turut dapat menjimatkan
bayaran parkir kerana stesen-stesen MRT menawarkan kemudahan parkir yang jauh
lebih murah harganya daripada yang lain.

“Ia dapat membantu merancang perjalanan kerana kebanyakan daripada kawasan
di Lembah Klang akan mempunyai akses pengangkutan awam apabila MRT Fasa 1 dibuka
kelak,” katanya.

Fasa 1 Laluan MRT SBK dijangka beroperasi mulai 16 Dis 2016, meliputi 12
stesen antara Sungai Buloh dan Semantan.

Sebanyak 120 bas pengantara akan disediakan melalui 26 laluan sekitar 12
stesen itu.

Kira-kira 400,000 orang dianggarkan bakal menggunakan laluan MRT SBK setiap
hari sebaik sahaja ia beroperasi sepenuhnya pada Julai 2017.