PUTRAJAYA, 14 Jan – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengulangi cadangan agar PAS mengadakan perhimpunan berkaitan Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1965 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

“Dataran Merdeka kita tidak akan benarkan, tidak kira siapa. Saya sudah memberikan cadangan agar mereka (PAS) menggunakan Stadium Titiwangsa seperti yang dilakukan semasa Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata kementerian itu dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam melaksanakan larangan terhadap sebarang perhimpunan daripada diadakan di Dataran Merdeka.

DBKL sebelum ini turut melarang PAS menggunakan Dataran Merdeka sebagai lokasi perhimpunan mereka.

Dalam satu perkembangan lain, beliau berkata Kementerian Wilayah Persekutuan dengan
kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) akan mempertimbangkan keluhan generasi muda
di sini yang sukar mengadakan aktiviti sukan terutama futsal akibat kekangan kewangan.

“Kita akan bincang dengan PPj dan jika perlu akan biayai secara percuma mereka bermain futsal di gelanggang di Presint 18.

“Jika perlu, dewan-dewan yang dibangunkan kerajaan di Kuala Lumpur dan Labuan juga akan kita benarkan diguna secara percuma kerana ini adalah untuk rakyat,” kata Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Ping Pong Putrajaya.

Beliau berkata acara sukan seperti futsal, badminton dan ping pong sangat digalakkan bagi mengeratkan hubungan masyarakat dalam komuniti.

Sementara itu katanya Kejohanan Ping Pong Putrajaya tersebut yang disertai 1,035 peserta dicatat dalam Malaysia Book of Records sebagai penyertaan acara ping pong paling ramai.
Acara dua hari itu bermula semalam.