KUALA LUMPUR, 24 Jan – Projek Sungai Nadi Kehidupan (ROL) yang tertangguh selama lapan tahun akan digerakkan semula secepat mungkin, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata projek sepanjang 100 kilometer itu merupakan agen perubahan, bukan hanya sebagai tarikan pelancong tetapi juga sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara dan juga pengangkutan alternatif teksi air di Lembah Klang.

“Terdapat beberapa isu teknikal namun saya berpendapat apa pun isunya, tempoh lapan tahun itu terlalu lama,” katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Prospek Strategi Malaysia Ke-19 di sini hari ini.

Abdul Rahman yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonomi (EPU), telah diamanahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melaksanakan projek Sungai Nadi Kehidupan itu.

Beliau berkata beliau telah berbincang dengan pihak berkepentingan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur amat membantu memandangkan terdapat syarikat yang telah diberikan kontrak konsesi untuk melaksanakan projek itu.

“Kita akan cuba selesaikan masalahnya dan diharapkan akan dapat merealisasikannya secepat mungkin. Kami akan melaksanakannya mengikut fasa dan fasa sekarang ini ialah River City, yang merupakan sebahagian kecil projek ROL. Rundingan sedang berjalan dan
pengumuman mengenai fasa pertama KL River City akan dibuat tidak lama lagi,” katanya.

Mengenai langkah Amerika Syarikat menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), beliau berkata Malaysia telah berusaha bersunguh-sungguh untuk perjanjian ini dan parti pemerintah mengambil risiko politik dalam memperkenalkan perjanjian perdagangan itu memandangkan terlalu banyak cabaran.

Abdul Rahman berkata alternatif seterusnya bagi negara adalah perjanjian dua hala dan serantau.

Persidangan sehari itu dianjurkan Institut Kepimpinan dan Strategi Asia.