KUALA LUMPUR, 24 Jan – Projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) Legasi Residensi Kampung Baru, di sini, dijangka siap akhir tahun depan, dengan tawaran harga RM300,000 seunit kepada penduduk Kampung Baru.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sebanyak 206 unit kediaman mampu milik berkeluasan 807 meter dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air ditawarkan, lengkap dengan kemudahan bertaraf kondominium seperti tempat letak kenderaan, taman permainan dan tadika.

“Menyelusuri kepada peringkat awal pembangunan semula tapak pasar minggu Kampung Baru, ia sebenarnya melibatkan suatu proses rundingan yang rumit dengan pelbagai pihak.

“Bagaimanapun dengan komitmen dan sokongan semua pihak terdiri daripda Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Kampung Baru, UDA Holdings Berhad, para peniaga pasar minggu dan penduduk yang terlibat, akhirnya kita berjaya membangunkan projek ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran dan Sesi Pengundian Rumawip itu di sini hari ini.

Katanya permohonan membeli projek kediaman itu dibuka bermula 2015 dengan keutamaan diberikan khusus kepada penduduk Kampung Baru.

Sehingga Disember tahun lepas keseluruhan projek Rumawip mencapai 65 peratus (52,562 unit) daripada sasaran pembinaan 80,000 unit rumah menjelang 2018.