PASIR PUTEH, 16 Feb – Anggota Pasukan Sukarelawan Simpanan Maritim Malaysia (PSSMM) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berpeluang untuk dilantik ke jawatan tetap setaraf dengan kelulusan mereka.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar berkata sebagai anggota sukarelawan, mereka juga berpeluang memikul tanggungjawab sebagai anggota tetap di pelbagai jawatan dan pangkat secara berperingkat selepas tamat mengikuti latihan asas.

“Latihan asas ini termasuk latihan perbarisan, ceramah, renang dan selam,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan PSSMM peringkat negeri Kelantan di pejabat APMM Daerah Maritim 10 Tok Bali di sini, hari ini.

Setakat ini, sejumlah 300 belia dan beliawanis menyertai pasukan itu di Kelantan.

PSSMM yang diluluskan Kabinet penubuhannya pada 21 Sept tahun lepas, menyasarkan keanggotaan sukarelawan seramai 5,000 orang.

Ahmad Puzi berkata langkah untuk menyerap anggota sukarelawan yang berkelayakan itu, bertepatan dengan pengambilan antara 100 hingga 300 orang sebagai anggota tetap oleh agensi itu setiap tahun.

Beliau berkata jumlah anggota sukarelawan itu perlu untuk melindungi perairan negara yang luas daripada diceroboh pihak luar selain tanggungjawab menyelamat di laut.

Beliau berkata anggota PSSMM di Kelantan akan ditempatkan di kawasan yang berisiko tinggi seperti di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh dan Pantai Irama, Bachok yang sering berlaku tragedi lemas.