KUALA LUMPUR, 17 Feb – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan meneruskan projek pembinaan pusat penyembelihan ayam di Pasar Borong Harian Selayang meskipun mendapat bantahan daripada penduduk.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosial Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff berkata projek itu dilihat tidak memudaratkan kerana kajian telah dijalankan merangkumi pelbagai aspek.

“Ia turut diluluskan oleh Kementerian Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

“Penduduk tidak perlu risau akan keadaan persekitaran, kebersihan dan tempat letak kereta kerana kami turut mengambil kira aspek itu termasuk rawatan air, kawalan proses penyembelihan dan kemudahan parkir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Let’s Do It Malaysia-Eco and Biogradable Day’ di sini, hari ini.

Ibrahim berkata pusat penyembelihan ayam itu turut akan dibina secara bertingkat yang mana tempat letak kereta akan ditempatkan di tingkat atas.

“Di tingkat bawah bahagian sembelih dan tingkat dua pula penjualan ayam, tingkat atas pula dijadikan tempat letak kereta… jadi penduduk tidak perlu risau akan masalah tempat letak kereta,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan DBKL merancang membangunkan pusat penyembelihan di Pasar Harian Selayang yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini berikutan larangan penyembelihan ayam dan itik di pasar oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Namun, ia mendapat bantahan daripada penduduk berikutan dakwaan bahawa pembinaan itu akan menjejaskan lalu-lintas dan pencemaran alam.