KUALA LUMPUR, 25 Feb – Kira-kira 300 gelandangan di sekitar ibu kota menerima bungkusan makanan hari ini sempena program Santuni Gelandangan anjuran Yayasan Basmi Kemiskinan.

Sumbangan tersebut yang diadakan di Masjid Jamek ditaja oleh Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd dan Bank Muamalat sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial korporat mereka.

Pengarah Nouvelle Beauty Centre, Erni Rineelanawati Buhari berkata sumbangan tersebut atas adalah dasar keprihatinannya terhadap kesusahan golongan gelandangan yang perlu meneruskan hidup di kota metropolitan yang serba mencabar.

“Apabila saya melihat wajah mereka tersenyum ketika menerima makanan, hati saya berasa begitu tenang dan saya gembira dapat menyumbangkan sesuatu kepada mereka,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata perkara itu dilakukan sebagai menyambung usaha ibunya Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya yang ketika hayatnya sering terlibat dalam program amal kebajikan.

“Kami akan teruskan inisiatif seperti ini pada masa akan datang dalam membantu golongan yang tidak bernasib baik seperti gelandangan,” katanya.