PUTRAJAYA, 2 Jun – Kerajaan China hari ini menyerahkan senarai 100 nama warganegaranya yang disyaki terlibat dalam pelbagai jenayah kepada Kementerian Dalam Negeri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kesemua individu itu dipercayai terlibat dalam jenayah keganasan, penipuan telekomunikasi, dadah dan jenayah rentas sempadan dipercayai berada di negara ASEAN termasuk Malaysia.

Katanya Malaysia khususnya melalui Polis Diraja Malaysia akan melakukan siasatan, penahanan dan seterusnya penghantaran pulang ke negara asal, sekiranya mereka didapati berada di negara ini.

“China berkongsi senarai itu dengan kita. Tetapi kita perlu siasat sama ada suspek-suspek masih berada di Malaysia.

“Suspek-suspek warganegara China bukan hanya memilih sebagai tempat persembunyian tetapi mereka juga sedang beroperasi di negara ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Menteri Keselamatan Awam China, Guo Shengkun dan delegasinya yang mengadakan lawatan kerja selama tiga hari ke Malaysia sejak Rabu lalu di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata Malaysia melakukan tiga kali penghantaran melibatkan 134 tahanan China ke Beijing iaitu pada tahun 2014, 2015 dan 2016 menggunakan kapal terbang yang dihantar China ke Kuala Lumpur.

Ditanya sama ada Malaysia turut menyerahkan senarai syak kepada kerajaan China, Ahmad Zahid berkata Malaysia juga menyerahkan senarai nama tersebut namun enggan mendedahkan bilangan penjenayah Malaysia yang dikehendaki.

Beliau berkata sehingga 31 Dis tahun lepas, seramai 248 rakyat Malaysia sedang menjalani hukuman di penjara-penjara di China atas pelbagai kesalahan antaranya pemalsuan kad kredit dan jenayah rentas sempadan.

“Malaysia telah mengambil beberapa tindakan untuk melaksanakan Pemindahan Banduan Antarabangsa.

“Kita juga yakin rakyat Malaysia yang layak akan dihantar pulang ke Malaysia dan disusuli dengan tindakan penahanan lanjut dan tindakan perundangan jika mereka ada melakukan jenayah di negara ini,” katanya.

Beliau menerangkan kerjasama penghantaran senarai syak antara Malaysia dan China bertujuan membanteras perbuatan jenayah rentas sempadan mengikut tindakan perundangan yang tegas untuk menjamin kebajikan, keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini .

Mengulas mengenai Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama kali ketiga antara Malaysia dan China, Ahmad Zahid berkata kedua-dua pihak mempersetujui 16 isu, antaranya pertukaran maklumat risikan jenayah rentas sempadan dan risikan dalam bidang antikeganasan bagi meningkatkan kerjasama dua hala.

“Ini dilakukan dengan tujuan supaya kerajaan China memberikan maklumat kepada kita mengenai rakyat Malaysia yang berada di China atau di mana-mana bahagian di wilayah China yang terlibat dalam sindiket perjudian, dadah atau jenayah. Ini termasuk juga perkongsian maklumat risikan mengenai pengganas,” katanya.

Ahmad Zahid berkata Malaysia telah menjalinkan beberapa kerjasama erat dengan China dengan menghantar tidak kurang 100 anggota sindiket yang terlibat dalam penipuan ‘Macau Scam’ untuk diadili di China kerana sindiket itu telah melibatkan kerugian RM10 bilion kepada rakyat di negara ini, China dan beberapa negara lain.

Beliau berkata Malaysia dan China juga telah bersetuju untuk mengukuhkan lagi kerjasama yang telah dijalin terutama antara pasukan polis kedua-dua negara melalui operasi bersama, perkongsian komunikasi dan maklumat risikan serta program latihan dan peningkatkan kapasiti.

Dalam mesyuarat itu juga, Ahmad Zahid berkata Malaysia menyasarkan ketibaan tiga juta pelancong China sejak kerajaan memperkenalkan kemudahan pengecualian visa atau kemudahan ENTRI (Pendaftaran pelancongan elektronik) dan kemudahan visa elektronik pada Mac tahun lepas.

“Kedatangan pelancong China dilihat meningkat daripada 1.1 juta pada 2015, kepada 2.2 juta pelancong pada 2016. Malaysia juga mengadakan kerjasama dengan pihak syarikat penerbangan tambang rendah China untuk menambah memberi akses mudah kepada pelancong China datang ke Malaysia,” katanya.

Ahmad Zahid yang berpuas hati dengan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara, turut memaklumkan bahawa Malaysia dan China akan berkongsi maklumat serta mengambil tindakan tegas terhadap pengedar dadah serta pembuat dadah sintetik khususnya yang berada di Segitiga Emas bersempadan dengan Myanmar.