KUALA LUMPUR, 2 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menzahirkan rasa sedih beliau atas tragedi yang meragut nyawa tujuh pelajar tahfiz dalam satu kemalangan di Kuala Krai, Kelantan, pagi tadi.

“Saya sedih mendapat tahu bahawa tujuh pelajar tahfiz kehilangan nyawa dalam kemalangan di Kelantan pagi tadi. Takziah kepada keluarga mangsa. Al-Fatihah,” kata Najib dalam catatan di laman Twitter rasmi beliau, malam ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu, sebuah van yang membawa 12 pelajar dan dua guru pengiring dari Maahad Tahfiz Al-Hashimi Kampung Tualang terbabas sebelum merempuh sebuah rumah penduduk di Km 55, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu.
Tujuh pelajar tahfiz terkorban manakala tujuh lagi cedera termasuk lima daripadanya parah.
Mereka yang terkorban ialah Muhammad Hakimi Muhammad Dahalan, 17; Ahmad Farhan Zulkifli, 14; Mohamad Hafiz Aimullah Mustafa, 18; Muhammad Rahman Rozali, 18; Nik Shah Jehan Nik Azmi, 16; Nik Ahmed Daniel Nik Ahmed Rithaudeen, 14, dan seorang pelajar warga Thailand, Sarifuddin Muhammad yang belum diketahui umurnya.