LABUAN, 4 Jun – Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa pihak berkuasa tempatan, Perbadanan Labuan (PB), supaya membentuk sebuah jawatankuasa khas bagi membantu mengatasi masalah kegawatan ekonomi di pulau ini.

Beliau berkata kerajaan akan terus mengambil langkah bagi merancakkan kembali ekonomi, tetapi ia akan hanya berjaya sekiranya mendapat sokongan penuh daripada rakyat.

“Saya mahu ketua pegawai eksekutif Perbadanan Labuan mambentuk sebuah jawatankuasa khas yang melibatkan penyertaan orang ramai bagi mengemukakan syor, input dan cadangan tentang cara terbaik untuk kami menghidupkan kembali ekonomi pulau ini.

“Apa yang penting ialah mendengar degup nadi rakyat…sungutan dan keperluan rakyat, hanya dengan cara itu kami akan tahu apa yang patut dilakukan,” katanya pada majlis tahunan Nur Ramadan di Kg Patau-Patau 2, di sini malam tadi.

Beliau berkata, sektor minyak dan gas kini tidak lagi boleh menjadi jentera pertumbuhan ekonomi Labuan dan oleh itu, pulau ini perlu beralih kepada sektor yang mampu menjana lebih banyak pendapatan secara lestari.

 

“Sedarlah daripada lamunan kita bahawa sektor minyak dan gas akan bangkit kembali… sehingga kini, kita belum nampak sisi terang sektor itu, oleh demikian, kita perlu bersedia melakukan anjakan paradigma dalam ekonomi kita serta bersiap sedia untuk melepaskan diri daripada kegawatan ekonomi yang sedang dialami ini,” katanya.

Tengku Adnan berkata masanya sudah tiba bagi rakyat, terutama yang terjejas oleh kemerosotan sektor minyak dan gas, supaya berdikari dan bersikap kreatif untuk mencari pendapatan bagi menyara keluarga.

Beliau juga mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpedaya oleh helah pembangkang yang bertujuan mencemarkan imej kerajaan dan menyebar pembohongan melalui Internet atau melalui cara lain.

“Kami, dalam kerajaan, ingin melihat keamanan wujud di negara ini dengan menyatupadukan rakyat daripada semua kaum, bukan seperti pembangkang, yang sentiasa berusaha menghasut orang ramai supaya membenci kerajaan,” katanya.

Menurut beliau, kemelesetan ekonomi sekarang, terutama yang begitu dirasai di Labuan, adalah di luar kawalan perdana menteri.

“Kemelesetan ekonomi di pulau ini tiada sangkut paut dengan perdana menteri… malah beliau telah berusaha sedaya upaya untuk membantu dan melengkapkan pulau ini dengan kemudahan yang diperlukan. Saudara semua (rakyat) mahukan Pusat Transformasi Bandar (UTC), PM menyediakannya dan rakyat mendapat manfaat daripadanya. Oleh itu, kita perlu bersatu dan bukan menyalahkan kerajaan atau perdana menteri,” katanya.

Tengku Adnan berkata Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli pula telah berusaha sedaya upaya untuk memenuhi harapan rakyat dengan mengemukakan isu berkaitan mereka pada persidangan Parlimen.