GUA MUSANG, 9 Julai – Setelah tersesat lebih 24 jam ketika dalam perjalanan turun selepas mendaki Gunung Yong Belar, Lojing di Gua Musang semalam, seorang doktor gigi ditemui oleh dua pekerja kebun warga Myanmar yang membantunya keluar dari kawasan hutan itu.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang berkata mangsa, Dr Muhammad Iqbal Ariffin, 29,  ditemui selamat oleh pekerja kebun itu kira-kira pukul 4 petang tadi sebelum dibawa keluar oleh seorang daripada pekerja berkenaan dengan menaiki motosikal ke Masjid Lojing.

“Ketika ini, mangsa masih berada di Pondok Polis Lojing untuk menunggu ketibaan keluarganya dari Melaka dan telah diberi rawatan awal,” katanya ketika ditemui di Pondok Polis Lojing di sini, malam ini.

Beliau berkata dengan penemuan mangsa, operasi mencari dan menyelamat dilancarkan pada 12 tengah hari tadi, melibatkan anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Bomba dan Penyelamat Gua Musang, dihentikan.

Doktor gigi, yang bertugas di Jabatan Kesihatan negeri Melaka, dilapor hilang setelah rakannya Aeida Abu Talib, 46, menyedari Dr Muhammad Iqbal tidak ada bersama kumpulan 31 pendaki, sejam selepas mereka berhenti rehat dan menuruni gunung berkenaan.

Laporan polis mengenai kehilangannya dibuat pada 4.22 pagi.

Sementara itu, Dr Muhammad Iqbal, ketika ditemui di Pondok Polis Lojing, berkata berkata beliau hanya menyedari terpisah daripada kumpulannya kira-kira pukul 6 petang semalam sebelum memutuskan untuk mencari sungai terdekat untuk berehat.

“Sekitar 7.30 malam, saya menemui sebatang sungai dan minum air sungai tersebut kerana kehabisan bekalan makanan.

“Ketika berseorangan di dalam hutan saya melakukan solat hajat dan berzikir bagi memudahkan urusan mencari kembali rakan kumpulan,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut, Dr Muhammad Iqbal berkata pada pukul 7 pagi hari ini, beliau kembali menyusuri sungai sebelum ditemui oleh dua pekerja kebun warga Myanmar yang kemudian menghantarnya keluar sehingga ke Masjid Lojing.

“Saya kemudiannya menghubungi ayah memaklumkan telah selamat dan kemudiannya menelefon polis untuk memaklumkan kedudukan saya,” katanya.