BUKIT BINTANG, 9 Julai – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, YB Khairy Jamaluddin memuji sikap anggota UMNO Bahagian Bukit Bintang yang terus berusaha untuk mengadakan pelbagai program dalam usaha untuk mendekati pengundi, biarpun tahu bahawa amat mustahil UMNO atau pun BN untuk menang ketika berlakunya pilihanraya di kawasan parlimen Bukit Bintang.

Dalam ucapannya, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, biar pun menyedari akan hakikat perkara itu, namun beliau kagum dengan usaha anggota UMNO Bukit Bintang mengadakan pelbagai program untuk terus mendekati rakyat dan juga pengundi di sekitar kawasan ini.

“Apa yang perlu kita ingat, kemenangan itu bukan hanya dari segi fizikal, tetapi juga moral. Ini tugas anggota UMNO Bukit Bintang. Kita pastinya sukar untuk menang di kawasan parlimen ini, namun menambah undi BN atau mengurangi undi pihak pembangkang itu juga merupakan satu kemenangan moral bagi kita.

“Jadi teruskan usaha. Dekati pengundi dan rakyat di kawasan ini. Matlamat kita adalah untuk mengurangi undi pihak pembangkang. Kita kena ambil ikibar pada PRU yang lalu di mana pembangkang yang memperolehi undi popular melebihi kita, maka mereka canang perkara itu kononnya mereka lebih layak untuk berkuasa kerana mereka lebih popular.

“Maka adalah menjadi tugas kita sebagai anggota UMNO di kawasan bandar seperti di Bukit Bintang, Seputeh adalah untuk menjalankan gerak kerja yang mampu melemahkan kekuatan pembangkang di kawasan ini, secara tidak langsungnya akan menjejaskan kekuatan mereka di peringkat nasional,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan perwakilan sebelum merasmikan Mesyuarat Pegerakan Sayap Wanita dan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bintang di sini.

Bagaimana beliau mengingatkan bahawa cara politik di bandar tidaklah sama dengan pendekatan yang digunakan di luar-luar bandar, dan anggota UMNO di bandar perlu berusaha untuk menarik semula sokongan orang Melayu kepada UMNO jika tidak mahu UMNO digelar hanya sebagai jaguh parti kampung.

“Dalam kita membuat pelbagai program, kita juga kena ubah gaya dan pendekatan kita apabila berhadapan dengan pengundi di bandar. Kita kena ubah pendekatan kita. Jika kita tidak ada pendekatan yang sesuai dengan pengundi bandar, maka kita tidak akan dapat mampu untuk menarik sokongan mereka terhadap UMNO.

“Kita selalu sebut bahawa orang Melayu memerlukan UMNO. Jika kita pergi ke kawasan luar bandar, kita akan dengar ayat-ayat itu disebut. Di kawasan luar bandar, sememangnya soal politik pembangunan masih terus kita dengar.

“Tetapi hari ini kita kena terima hakikat bahawa, ada sesetengah daripada orang Melayu sudah tidak memerlukan UMNO lagi. Soal politik pembangunan bagi pengundi di bandar sudah tidak relevan lagi. Mereka tidak rasa berjayanya mereka, mewahnya mereka adalah kerana perjuangan UMNO. Mereka rasakan mereka berjaya adalah kerana usaha mereka sendiri dan bukannya kerajaan atau UMNO.

“Jadi sebenarnya, di bandar kita tidak boleh mendendangkan lagi ayat yang mengatakan bahawa orang Melayu memerlukan UMNO. Hakikatnya UMNOlah yang memerlukan orang Melayu untuk meneruskan survival kita,” tegasnya

Justeru itu, satu perubahan perlu dilakukan oleh anggota UMNO di kawasan bandar terutamanya dari sudut gerak kerja dan sebagainya, agar UMNO dilihat rakyat sebagai sebuah parti Melayu yang sentiasa bergerak sesuai dengan zaman, masa dan keadaan, tegas Khairy lagi.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian, Datuk Zainal Rafique, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Azim Zabidi dan barisan kepimpinan Jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Bintang.

Persidangan Sayap Pergerakan Wanita dan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bintang yang diadakan di Dewan Tun Dr. Ismail, Putra World Trade Center hari ini berjalan lancar dengan kehadiran lebih 200 perwakilan daripada 33 cawangan di sekitar Kuala Lumpur.

Mesyuarat pergerakan sayap-sayap tersebut dimulakan seawal pukul 9 pagi dan berakhir kira-kira pukul 4 petang.