KUALA LUMPUR, 12 Julai – Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, hanya tsunami tong kosong Pakatan Harapan yang bakal berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang, bukannya tsunami Melayu.

Menurutnya, dakwaan pembangkang bahawa orang Melayu akan menolak UMNO pada PRU ke-14 akan datang dengan menggelarkannya sebagai tsunami Melayu sekadar perang propaganda.

Ini katanya, pada PRU ke-13 blok pembangkang mencanangkan dengan yakinnya ke seluruh negeri kononnya akan berlaku tsunami politik yang akan membolehkan mereka, menguasai Putrajaya.

“Tetapi, tsunami politik PRU-13 seperti mana dakwaan mereka juga tidak berlaku, malah UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu membentuk kerajaan sepertimana yang ada hari ini,” katanya dalam entri terbaru di umnobahagiancheras.blogspot.my.

Beliau berkata, isu tersebut sengaja dimainkan pembangkang kerana PRU ke-14 semakin hampir dengan harapan rakyat akan memihak kepada kereka.

Kata beliau, perkataan tsunami dan tawan Putrajaya cukup sinonim dengan laungan pembangkang setiap kali hampirnya pilihan raya.

“Saya yakin tsunami tersebut tidak akan berlaku, sebaliknya akan berlaku tsunami UMNO kerana tahap sokongan rakyat terutama orang Melayu semakin meningkat,” tegasnya.

Beliau menyifatkan pakatan pembangkang berada dalam keadaan terdesak untuk menagih sokongan pengundi.

“Dalam pakatan pembangkang kucar-kacir dengan pelbagai masalah, sebab itu mereka cuba mengalih perhatian dengan memainkan isu tsunami Melayu,” katanya lagi.

Oleh sebab itu tambah beliau, pemimpin pembangkang mula melancarkan serangan persepsi kononnya akan berlaku tsunami Melayu dan mereka akan memenagi pilihan raya.

“Kita kena berlaku jujur bahawa blok pembangkang berada dalam keadaan bercelaru, kita tak tahu yang mana satu ketua dan yang mana satu pengikut dalam pakatan tersebut,” ujarnya.

Syed Ali berkata, orang Melayu tidak akan menyokong blok pembangkang kerana Dap menjadi dalangnya.

“Orang Melayu berfikir, untuk apa mereka sokong  kerana Dap, parti rasis yang mendominasi pakatan tersebut,” katanya.

Sebaliknya kata beliau, orang Melayu tetap akan memberi sokongan kepada UMNO dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada PRU akan datang.

“Tidak ada sebab mengapa orang Melayu perlu menukar kerajaan pada PRU akan datang, kerana UMNO terbukti sudah berjasa kepada mereka,” tegasnya.

Beliau berkata, pakatan pembangkang hanya tong kosong yang hanya membuat bising apabila menjelang PRU.

“Pembangkang sekadar tong kosong, tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat,” katanya.