KOTA KINABALU, 12 Julai — UMNO Sabah hari ini menafikan ia menyokong pembiayaan khas yang dikatakan ditawarkan oleh institusi kewangan, khusus untuk anggota UMNO.

Dalam satu kenyataan di sini, UMNO Sabah berkata skim tersebut adalah skim yang tidak bertanggungjawab dan ditawarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Oleh itu, masyarakat umum dan institusi kewangan, khususnya anggota UMNO, tidak harus terperdaya dengan mempercayai skim sedemikian wujud,” kata kenyataan itu.

UMNO Sabah turut menegaskan ia tidak pernah memberi pengesahan keanggotaan UMNO kepada institusi kewangan untuk tujuan mendapatkan pinjaman itu.

Kenyataan itu susulan tularnya satu iklan berhubung program pembiayaan khas untuk anggota UMNO.

Iklan itu menyebut anggota UMNO layak memohon dana berjumlah RM400,000 dengan RM200,000 dicarumkan dalam program Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN), RM100,000 sebagai pembayaran kepada pengurusan UMNO dan anggaran RM20,000 sebagai yuran pemprosesan bank manakala pemohon akan membawa pulang baki pinjaman kira-kira RM70,000.

Syarat permohonan pinjaman itu ialah bukti keanggotaan pemohon dalam UMNO, maklumat lesen berniaga, salinan kad pengenalan pemohon, pemohon memiliki akaun BSN dan tidak diisytiharkan muflis.

Selain perlu berumur sekurang-kurangnya 18 tahun untuk memohon, iklan itu juga menyebut pemohon boleh menghantar sehingga lima permohonan untuk pinjaman berjumlah sehingga RM2 juta di bawah lesen berniaga berlainan untuk nama syarikat berlainan dengan syarat syarikat berkenaan dimiliki pemohon yang sama.

Iklan itu juga meminta RM150 untuk tujuan pemprosesan permohonan yang perlu dimasukkan ke dalam akaun bank CIMB di bawah nama ‘Dato Arif Hamdi’ dan slip pembayaran bank itu harus dimajukan kepada satu nombor telefon bimbit.