KUALA LUMPUR, 23 Julai – Parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu menyerlahkan kemampuan untuk menang pilihan raya di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri berkata parti seperti MCA, MIC dan Gerakan seharusnya tidak hanya berharap untuk menang di kerusi yang majoriti pengundinya ialah orang Melayu.

“Kita melihat rakan-rakan kita dalam komponen BN, mereka sukar menang di kawasan bukan Melayu, ini hakikat,” kata n​​aib presiden UMNO yang menjalankan tugas timbalan presiden parti itu ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bintang di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO  Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang Datuk Zainal Abidin Mohd Rafique.

Ahmad Zahid menegaskan apa yang dinyatakannya itu bukan satu kritikan tetapi tanda keikhlasan UMNO untuk memastikan rakan komponen BN menang.

Dalam hal ini, Ahmad Zahid berkata UMNO terlalu baik walaupun ada sedikit anggota dan pemimpin UMNO yang terguris.

“Tetapi tidak adil kalau bebanan itu hanya diberikan kepada UMNO. Berapa banyak lagi kawasan Melayu yang kita beri kepada rakan kita demi rasa kebersamaan,” katanya.

Mengambil contoh di Perak, Ahmad Zahid berkata tidak ada satu kerusi yang dimenangi MIC tetapi kerusi Speaker Dewan Undangan Negeri tetap diberi kepada parti itu selain jawatan penasihat khas di pejabat Menteri Besar Perak.

Beliau seterusnya berkata UMNO kekal relevan di kawasan yang tidak ditandinginya atau kubu kuat pembangkang.

“Sebagai contoh, walaupun Bukit Bintang ini dilihat tidak ada masa depan untuk BN, namun UMNO di kawasan ini boleh membantu kawasan lain mencapai kemenangan kerana penduduk di kawasan Bukit Bintang ini kebanyakannya mengundi di kawasan lain,” katanya.