KUALA LUMPUR, 23 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan perasaan terharu dengan ucapan dan doa rakyat Malaysia pada sambutan ulang tahun ke-64 kelahiran beliau hari ini.

“Terima kasih atas ingatan dan ucapan Selamat Hari Lahir serta doa-doa daripada anda semua. Terharu. Semoga kita semua dirahmati juga,” katanya menerusi laman Twitter.

Warga netizen, barisan menteri kabinet dan anggota Parlimen mengambil peluang mengucapkan selamat hari jadi kepada perdana menteri melalui Twitter dan Facebook.

Najib dilahirkan pada 23 Julai 1953 di Kuala Lipis, Pahang dan merupakan putera sulung kepada Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Rahah Mohd Noah.

Sambutan ulang tahun itu turut diraikan bersama golongan peneroka Felda  pada sambutan Ekspresi Felda Negaraku Malaysia bersempena Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan 2017 di Dataran Putrajaya.