BANGI, 20 Okt – Kabinet baru-baru ini meluluskan kertas cadangan supaya agensi dan jabatan kerajaan berkongsi data dengan Jabatan Perangkaan Malaysia untuk penyediaan statistik dan penyusunan indikator sosioekonomi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata hanya data berkaitan keselamatan negara dan maklumat di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi yang tidak boleh dikongsi.

“Melalui keputusan Jemaah Menteri ini, Jabatan Perangkaan boleh mengutip data daripada jabatan dan agensi kerajaan yang lain bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam revolusi ‘Big Data Open Data’.

“Raw data (data belum diproses) yang dikongsi membolehkan Jabatan Perangkaan mengeluarkan pelbagai statistik seperti jalan yang mencatatkan kemalangan paling tinggi. Data yang dikongsi juga boleh bantu golongan muda membangunkan pelbagai aplikasi mudah alih,” katanya kepada pemberita selepas sambutan pertama Hari Statistik Negara (MyStats Day) di Pusat PERMATApintar Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Dalam ucapannya, Abdul Rahman berkata komuniti statistik dalam menghadapi gelombang Revolusi Perindustrian Keempat perlu sentiasa berbincang dan bertukar pendapat tentang metodologi dan kaedah baharu dalam pengumpulan data dan penyediaan statistik.

“Cara ini bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti statistik yang dihasilkan bahkan dapat memudahkan proses komunikasi statistik yang lebih berkesan mengikut keperluan serta perubahan semasa untuk kesejahteraan masa hadapan,” katanya.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 Sept 2017 bersetuju supaya Hari Statistik Negara disambut pada 20 Okt setiap tahun.

Tema Hari Statistik Negara pada sambutan yang pertama kali ini ialah Data Berkualiti. Kehidupan Sejahtera.