KUALA LUMPUR, 25 Okt – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, mana-mana kerajaan mempunyai kekurangan dalam pentadbiran dan apa jua projek perlu mengikut prosedur ditetapkan.

“Itu takdir Allah kita nak buat macam mana.

“Sepatutnya kita nak laksanakan sesuatu projek itu kena ikut prosedur PBT (pihak berkuasa tempatan), kerajaan negeri dan sebagainya.

“(Ini) untuk mengelak daripada perkara tidak diingini.

“Tapi mungkin dia lebih bijak daripada orang lain,” katanya ketika diminta mengulas kejadian yang meragut 11 pekerja di tapak pembinaan di Tanjung Bungah, 21 Oktober lalu itu.

Beliau ditanya berkaitan kritikan terhadap pentadbiran Ketua Menteri Lim Guan Eng susulan kejadian itu.

Ahmad berkata demikian ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu, hari ini.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai kritikan kerajaan Pulau Pinang sebelum ini terhadap kerajaan Kelantan, Ahmad berkata, perkara itu diserah kepada Allah.

“Mentadbir ini satu tugas amanah, tidak semua kerajaan itu sempurna. Cuma kita kena sedar bahawa setiap pemerintah ada kekurangan.

“Jangan memperkecilkan mana-mana pihak. Tetapi kita minta mana-mana kerajaan pun perlu sentiasa bertanggungjawab kepada rakyat,” katanya yang juga pesuruhjaya PAS negeri.