REMBAU, 5 Nov – Pemuda UMNO telah menggerakkan jenteranya untuk membantu mangsa banjir di Pulau Pinang, kata Ketuanya Khairy Jamaluddin.

“Selain bantu uruskan pemindahan mangsa banjir, mereka turut membantu menyampaikan bantuan kepada mangsa yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas program Gelombang Tani Nasional 2017 di Kampung Gadong, Rembau di sini, hari ini.

Pulau Pinang hari ini lumpuh selepas puluhan jalan ditutup dan ratusan rumah di lima daerah di negeri itu dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat lebih 15 jam sejak 2 petang semalam. Hujan lebat dan angin kencang turut menyebabkan ratusan pokok dan beberapa kawasan mengalami kejadian tanah runtuh.

Terdahulu Khairy dalam ucapannya pada majlis itu berkata, golongan muda perlu merebut peluang dalam industri pertanian yang mempunyai potensi besar untuk menjana pendapatan lumayan.

Katanya antara program yang boleh dimanfaat ialah MyKampungMyFuture yang telah disediakan kerajaan bagi menggalakkan pembabitan golongan muda dalam industri pertanian.

“Jangan kita anggap industri ini sebagai industri tiada masa hadapan kerana permintaan dalam industri pemakanan tidak akan pernah susut malah akan meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.