KUALA LUMPUR, 10 Nov – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyifatkan tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyalahkan Kedah kerana banjir yang melanda negeri itu hanyalah satu tindakan untuk mencari kambing hitam bagi melepaskan diri daripada kesilapan sendiri.

Jelas beliau, dirinya amat kesal dan terperanjat dengan apa yang disuarakan oleh Guan Eng itu kerana apa yang terjadi adalah lumrah alam dan ia adalah fenomena putaran angin.

“Selaku negeri jiran, saya agak terperanjat dengan kenyataan Guan Eng kerana semasa lawatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke Pulau Pinang, kebetulan saya ada di sana, apa yang disebut oleh Datuk Seri Ahmad Zahid adalah banjir yang berlaku berpunca daripada fenomena putaran angin.

“Jadi tidak perlu tuding jari ke Kedah atau mana-mana negeri yang lain. Baik banjir di Kedah atau di Pulau Pinang, Kedah tidak boleh salahkan Pulau Pinang dan begitu juga sebaliknya.

“Apa yang berlaku, air banjir akan mengalir ke laut. Ini adalah normal… jadi mana boleh Pulau Pinang menuding jari kepada Kedah,” ujar beliau dalam satu wawancara khas bersama UMNO-Online, hari ini.

Justeru Ahmad Bashah menyifatkan tindakan Guan Eng itu sangat tidak wajar apatah lagi ia disuarakan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Seharusnya Guan Eng berterima kasih kerana apabila berlaku bencana ini bantuan datang dari seluruh pihak termasuk negeri yang berjiran dengan Pulau Pinang maka tidak sepatutnya dia menuding jari.

“Sepatutnya dia berfikir apa yang perlu dilakukan samada di negeri Pulau Pinang atau Kedah untuk melihat adakah banjir ini tidak berulang dan apa jalan penyelesaian yang perlu dilakukan.

“Inilah yang sepatutnya dibuat dalam Sidang DUN Pulau Pinang. Saya amat kesal sebab apa yang dia cakap itu dalam persidangan Dewan, bukan dalam sidang media tapi ialah… Kedah pun akan bersidang pada 12 Disember ini jadi kalau ada apa yang dibangkitkan oleh pembangkang saya akan jelaskan dalam Dewan Negeri nanti,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Ahmad Bashah turut membidas kenyataan Guan Eng yang menggambarkan kononnya Pulau Pinang membayar untuk bekalan air yang dibekalkan oleh Kedah kepada negeri itu namun hakikat sebenar Kedah tidak menerima sebarang bayaran.

“Saya nak ucapkan terima kasihlah kepada Guan Eng kalau ada pembayaran yang dibuat kepada negeri Kedah tetapi sehingga hari ini kita masih meminta mereka bayar cuma alasan yang selalu diberi air ini adalah air daripada Tuhan, bukan hak milik Kedah, jadi tidak perlu bayar tetapi kalau mereka berhasrat nak bayar, saya amat berterima kasih.

“Hakikat sebenar setakat hari ini sepengetahuan saya tidak ada apa-apa bayaran yang diberikan oleh kerajaan Pulau Pinang… tak tahulah kalau dia bayar ikut saluran lain di luar pengetahuan saya,” bidas beliau lagi.