KUALA LUMPUR, 21 Dis – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan, isu pelaksanaan program Sistem Pemantauan Pengendalian Pakej Umrah Malaysia (IMAMS) merupakan satu bukti yang memperlihatkan keterbukaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mendengar suara dan isi hati rakyat, apabila beliau bertindak membatalkan program tersebut yang dibantah oleh netizen yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan penglibatan bukan Islam di dalam urusan ibadah umat Islam di negara ini.

Menurut beliau, rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana mempunyai seorang Perdana Menteri yang begitu terbuka dalam mendengar suara dan pandangan rakyat serta berani untuk mengambil sebarang keputusan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Kita sebagai sebuah kerajaan besar, sudah pasti ada cacat celanya di sana sini. Kita bukanlah sebuah kerajaan yang sempurna dan tidak pernah melakukan kesilapan. Seumpamanya kita mengadakan satu kenduri besar, pastinya ada satu atau dua cawan dan mangkuk yang pecah. Begitulah juga dengan kerajaan ini.

“Namun apa yang ingin saya tekankan di sini ialah sikap keterbukaan Perdana Menteri itu sendiri yang memandang berat serta mengambil kira pandangan rakyat di bawah sana. Bahkan, beliau berani mengambil keputusan untuk membatalkan program tersebut berdasarkan pandangan rakyat.

“Ini termasuklah pandangan daripada ahli-ahli dan kepimpinan UMNO sendiri yang turut membantah penglibatan bukan Islam di dalam soal yang menyentuh ibadah umat Islam itu,” katanya ketika bercakap di dalam program ‘Anda Tanya Kita Jawab’ anjuran Media UMNO dan Penerangan UMNO Malaysia di PWTC.

Jelas Annuar, isu ini dilihat sengaja digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang walhal program ini telah pun dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz sebelum ia dilaksanakan.

“Sebenarnya isu pelaksanaan program IMAMS  ini sudah pun dibentangkan di dalam parlimen. Ketika ianya dibentangkan Datuk Seri Nazri Aziz di Parlimen, beberapa masalah telah diambil kira terutamanya masalah jemaah umrah yang tertipu dengan syarikat-syarikat yang menawarkan pakej umrah ini.

“Tetapi ketika pembentangan di Parlimen, tidak ada pun ahli parlimen, terutamanya dari pembangkang yang memberi tentangan. Bahkan pemimpin pembangkang seperti Khalid Samad sendiri pun tak cakap apa-apa pun. Kenapa baru sekarang mereka baru pandai nak complaint itu dan ini?

“Isu ini juga memperlihatkan kepada kita bahawa walaupun perkara itu telah dibawa ke parlimen dan telah dipersetujui sendiri oleh ahli parlimen, tidak bermakna jika rakyat memberikan pandangan, kita sebagai kerajaan tidak boleh mendengar atau mengambil kira pandangan rakyat itu,” ujarnya.