PETALING JAYA, 21 Dis – Malaysia tidak berganjak dengan pendiriannya untuk terus mempertahankan kesucian Baitulmuqaddis walaupun Amerika Syarikat membuat ugutan terhadap negara-neagra yang menyokong draf resolusi mengenai Baitulmuqaddis di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan juga tidak khuatir sekiranya ada negara mengambil tindakan diplomatik terhadap Malaysia susulan pendiriannya menentang keputusan Presiden AS Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

“Pendirian kita cukup jelas bahawa kesucian kota Baitulmuqaddis harus dipertahankan, bukan kerana kita orang Islam atau negara ini mempunyai pemimpin Islam semata-mata.

“Negara-negara yang (majoriti penduduknya) menganut agama Kristian malah penganut agama Yahudi Ortodoks sendiri menolak pengumuman Trump untuk memindahkan ibu negara Israel ke Baitulmuqaddis,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja dan merasmikan kilang Datasonic Group Bhd di sini, hari ini.

Pada Isnin, Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya terhadap deraf resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menggesa supaya pengisytiharan Trump itu ditarik balik.