SEMPORNA, 24 Jan – kira-kira 20,000 pelajar di Sabah menerima manfaat daripada Program UMNO Bantu Rakyat 2.0 yang dikendalikan oleh Biro Kebajikan UMNO (Bikum) pusat dengan peruntukan RM2 juta.

Pengerusinya Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata program itu merupakan antara inisiatif UMNO dalam membantu kumpulan sasaran termasuk mendaftarkan murid-murid berkenaan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

“Selain itu, Bikum turut memperuntukkan sejumlah RM1.2 juta di Sabah untuk pelbagai bantuan lain termasuk sumbangan kit makanan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian program UMNO Bantu Rakyat 2.0 oleh Pemangku Ketua UMNO Bahagian Semporna Datuk Seri Nasir Tun Sakaran di sini, hari ini.

Di Semporna, kira-kira 1,000 pelajar didaftarkan di bawah SSPN dan RM120,000 lagi diperuntukan untuk pemberian bantuan kit makanan kepada golongan memerlukan.

Konvoi program UMNO Bantu Rakyat 2.0 akan diteruskan ke Parlimen Tenom, Kota Belud dan Beaufort.

Shamsul yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO, berkata hanya kerajaan sedia ada yang konsisten mahu membantu rakyat dan perkara itu selamanya sebagai jenama UMNO.

“Sebab itu rakyat jangan memperjudikan masa depan dan meletak harapan pada parti (pembangkang) yang tiada hala tuju, tiada agenda (bantu rakyat) ,” katanya.

Beliau turut percaya rakyat tahu untuk memilih kerajaan Barisan Nasional yang memiliki rekod cemerlang dalam soal membangunkan negara termasuk pada aspek prasarana, ekonomi dan pendidikan.

Sementara itu, Nasir berkata BN mampu mempertahankan semua kerusi di kawasan Parlimen Semporna kerana penduduk tahu menilai parti yang telus membantu rakyat dan bukan mengundi pembangkang semata-semata populariti individu.

“Kemasukan UMNO ke negeri ini membawa banyak manfaat kepada rakyat termasuk telah menyelamatkan Sabah daripada politik perpecahan suatu masa dahulu,” katanya lagi.