KUAL A LUMPUR, 23 Jan – Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Zainal Rafique berkata, selain daripada pengundi dari kaum Melayu, UMNO juga perlu mendekati pengundi dari kaum-kaum Cina dan India dalam usaha untuk menarik hati pengundi dari kaum tersebut kepada Barisan Nasional (BN) khususnya menjelang pilihanraya umum ke 14 yang akan datang ini.

Menurut beliau, biarpun ianya menjadi tugas parti komponen seperti MCA dan MIC  untuk mendekati kaum Cina dan India di negara ini, namun beliau berpandangan bahawa UMNO juga perlu turut serta dalam usaha untuk memikat hati kaum Cina dan India yang majoritinya sebelum ini memberikan undi mereka kepada pihak pembangkang.

“Saya tidak setuju dengan pendapat sesetengah pihak bahawa tidak ada gunanya kita mendekati pengundi bukan Melayu kerana mereka majoritinya sudah beralih kepada pembangkang. Apa yang  saya lihat ketika mengadakan program turun padang di sekitar kawasan pengundi –pengundi di kawasan Cina dan India, ternyata mereka sebenarnya mengalu-alukan wakil daripada UMNO apabila hadir di dalam program-program yang melibatkan mereka.

“Saya telah menghadiri beberapa sesi dialog bersama pengundi-pengundi Cina dan India di sekitar kawasan Jalan Alor, Brickfields dan apa yang saya lihat, pengundi-pengundi di kawasan tersebut memberikan respon yang baik dengan kehadiran UMNO dengan bertanyakan pelbagai soalan, termasuklah meminta bantuan kita dalam menyelesaikan permasalahan setempat yang masih belum selesai.

“Bahkan dalam pertemuan seperti itu juga, saya dapati ia merupakan satu peluang yang baik untuk kita menerangkan isu-isu semasa negara, termasuk isu-isu setempat yang menjadi permasalahan penduduk dan pengundi di kawasan berkenaan.

“Dan pertemuan seperti itu saya lihat dapat memberikan kesan positif dalam menangkis segala persepsi negatif terhadap kerajaan yang melingkari pemikiran sesetengah pengundi,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambah Zainal, biarpun beliau tahu peluang untuk BN memenangi kawasan parlimen Bukit Bintang adalah sesuatu yang boleh dikatakan mustahil, namun UMNO Bukit Bintang tetap mengadakan program bertemu dengan pengundi dalam usaha untuk mengurangkan majoriti undi yang diperolehi oleh pihak pembangkang.

“Kita tahu memang susah untuk BN menang di kawasan parlimen Bukit Bintang kerana parlimen ini merupakan kubu kuat Dap. Namun bagi kami jentera UMNO yang berada di kawasan ini, kemenangan bukanlah sasaran tetapi kami memberikan tumpuan kepada usaha untuk mengurangkan undi majoriti pihak pembangkang.

“Sebab itu, kita sentiasa bersama dengan rakan –rakan komponen seperti MCA, MIC, MyPPP turun padang untuk bertemu dengan pengundi-pengundi di kalangan bangsa Cina dan India, dalam usaha kita untuk membantu menyelesaikan permasalahan mereka serta memberikan penjelasan secara langsung kepada mereka dalam isu-isu semasa dan setempat.

“Saya yakin, untuk menang dalam PRU akan datang ini, kempen UMNO tidak boleh hanya difokuskan kepada pengundi kaum Melayu sahaja, tetapi UMNO juga perlu turun padang untuk bertemu dengan pengundi-pengundi bukan Melayu di kawasan tertentu, dalam usaha kita menarik mereka kembali kepada BN termasuklah mengurangkan majoriti undi pihak pembangkang sepertimana yang menjadi fokus utama kami di bahagian Bukit Bintang ini,” jelasnya.