SABAH, 25 Jan – Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Sabah, Christina Liew menafikan bahawa gabungan pembangkang di negeri itu telah mencapai kata sepakat berhubung pengagihan kerusi dengan Parti Warisan Sabah (WARISAN) adalah mengikut formula 60-40.

Penafian itu dibuat kurang 24 jam selepas timbalannya, Stephen Wong, mendedahkan formula rundingan kerusi berkenaan kepada media, dengan berkata WARISAN akan bertanding di 60 peratus daripada 60 kerusi negeri, manakala HARAPAN pula akan bertanding di 60 peratus daripada 25 kerusi parlimen.

“Formula 60:40 tidak dibangkitkan, tidak dibincangkan atau menjadi prasyarat dalam rundingan agihan kerusi kami dengan WARISAN,” kata Liew ketika dihubungi.

Beliau berkata HARAPAN hanya bersetuju untuk menjemput Presiden WARISAN Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menghadiri mesyuarat meja bulat mengenai agihan kerusi.

Mengenai formula agihan itu, Liew berkata, ini hanya boleh diputuskan semasa mesyuarat meja berkenaan. 

Sejurus selepas kenyataan Wong semalam, Timbalan Presiden WARISAN, Darrel Leiking menyatakan keraguannya mengenai pengumuman secara satu pihak itu, dan berkata WARISAN arisan belum lagi menerima tawaran sedemikian.

Leiking mendesak Liew untuk mengesahkan sama ada kenyataan yang dibuat oleh Wong, yang juga adalah pengerusi DAP Sabah, adalah benar, dan melahirkan keyakinan bahawa HARAPAN dan WARISAN mampu bekerjasama ke arah pakatan pilihan raya yang lebih bermakna.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, pemimpin HARAPAN Sabah diheret dalam perang mulut dengan pemimpin WARISAN berhubung cara terbaik untuk meneruskan pakatan pilihan raya.

Sabah adalah satu-satunya negeri di mana HARAPAN masih belum memuktamadkan rundingan kerusi parlimen mereka.