KUALA LUMPUR, 28 Feb – Pakar Geostrategis, Prof Madya Dr. Azmi Hassan berkata, isu 1MDB merupakan salah satu contoh terbaik untuk memperlihatkan betapa bahayanya permainan persepsi ini apabila ia mampu dijadikan senjata untuk membunuh sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan untuk rakyat dan negara.

Jelas Azmi, dalam usaha untuk membina persepsi negatif rakyat terhadap syarikat tersebut, pihak pembangkang menggunakan fakta dan data-data yang sedia ada untuk dimanipulasikan, bagi mewujudkan persepsi negatif dalam pemikiran rakyat terhadap kerajaan.

“Contohnya seperti isu 1MDB. Data dah ada, statistik dah ada, jadi mereka hanya memikirkan bagaimana strategi untuk membina persepsi negatif terhadap perkara tersebut. Memang 1MDB mempunyai isu dalam tadbir urus. Tetapi dalam hal ini, itu bukanlah satu kelemahan. Itu dipanggil cara syarikat-syarikat seperti 1MDB diurus, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia.

“Jadi dengan menggunakan strategi menyerang dari sudut tadbir urus yang lemah itu, mereka memulakan serangan demi serangan sehinggalah mereka berjaya membina persepsi rakyat bahawa berlakunya salah laku tadbir urus dalam 1MDB. Dan salah laku tadbir urus itu pula dikaitkan pula dengan dakwaan bahawa wang dari syarikat tersebut telah dicuri”, katanya.

Sebenarnya jelas beliau di dalam dunia ini, syarikat yang beroperasi seperti 1MDB bukan hanya ada di Malaysia sahaja seperti di Singapura, ada dua syarikat yang berfungsi sama seperti 1MDB.

“Dan semenangnya tadbir urusnya syarikat seperti ini memang tidak telus kerana adanya perkara-perkara strategik. Jadi pihak pembangkang mengambil kesempatan dengan meneliti apakah sudut-sudut negatif dalam urus tadbir 1MDB.

“Mereka serang berdasarkan sudut-sudut negatif urus tadbir itu untuk membina persepsi sehinggalah kepada dakwaan wang dari syarikat tersebut telah dicuri akibat salah tadbir urus itu. Persepsi itulah yang dibina hari demi hari, sehingga rakyat akhirnya percaya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel program diskusi mingguan” Anda Tanya Kita Jawab” bertajuk Perangkap Perangan Persepsi PRU 14, anjuran Media UMNO Malaysia dan Penerangan UMNO Malaysia bertempat di PWTC di sini hari ini.

Tambah Azmi lagi, isu 1MDB ini sememangnya agak kompleks untuk difahami terutama kepada rakyat awam dalam memahami tadbir urus yang dijalankan di dalam syarikat seperti 1MDB ini.

“Jadi inilah strategi yang digunakan. Orang awam yang tidak tahu tentang urusan pentadbiran syarikat seperti 1MDB ini, akan terpengaruh dan percaya dengan dakwaan pihak pembangkang itu. Inilah masalahnya. Ketidakfahaman ini menyebabkan isu 1MDB masih boleh dijual oleh pihak pembangkang untuk terus membina persepsi negatif terhadap rakyat.

“Sebenarnya,di seluruh dunia juga mempunyai syarikat yang mempunyai modus operandi sama seperti 1MDB, contohnya seperti di Singapura iaitu Temasik Holding. Tahun lepas syarikat Temasek Holding telah rugi sebanyak US786 juta, tetapi rakyat Singapura tidak bising pun. Mengapa mereka tidak bising? Ini kerana rakyat Singapura tahu apa tujuan Temasek Holding itu diwujudkan.

“Bagi saya, 1MDB sudah tidak ada, yang tinggal hanyalah Arul Kanda sebagai CEO sahaja. Sayang seribu kali sayang, kita di Malaysia sudah kehilangan 1MDB itu. Kini hanya tinggal Khazanah sahaja. Sebab itulah, permainan persepsi ini menjadi sesuatu yang serius dan berbahaya, kerana ia boleh membunuh perkara-perkara yang menjadi kepentingan rakyat dan negara,” jelasnya.