KUALA LUMPUR, 28 – Pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bukan punca perniagaan penjaja di Jalan Petaling merosot.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Zainal Rafique berkata, penurunan pendapatan penjaja di kawasan itu disebabkan terlalu ramai warga asing yang berniaga di kawasan berkenaan sekali gus menyebabkan pelanggan beralih ke kawasan penjaja yang lain.
“Ia bukan disebabkan GST, apakah peniaga-peniaga di kawasan tersebut sebenarnya membayar GST?
“Hakikat sebenarnya Jalan Petaling tidak lagi dikunjungi oleh pelanggan kerana terlalu ramai warga asing yang berniaga di kawasan tersebut.

“Sudahlah mereka itu warga asing, ada sebahagian daripada mereka pula bersikap kurang ajar terhadap pelanggan-pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur Datuk Ang Say Tee di dalam sebuah portal sebelum ini mendakwa perniagaan peniaga dan penjaja di Jalan Petaling terjejas dan merosot akibat pelaksanaan GST.

Dalam pada itu jelas Zainal, Say Tee seharusnya sedar isu itu akibat lambakan warga asing yang dibenarkan meniaga di kawasan berkenaan.

“Ia mengakibatkan Jalan Petaling sendiri sudah hilang imej Malaysia yang menyebabkan rakyat tidak mahu lagi ke kawasan tersebut.

“Kenyataannya menyalahkan GST itu jelas amat dangkal memandangkan berapa ramai peniaga di kawasan tersebut yang dikenakan GST, apatah lagi penjaja di kawasan itu kebanyakan meniaga barang-barang tiruan yang sudah pasti terlepas daripada cukai GST,” tegasnya.

Beliau turut meminta agar pengerusi penjaja itu memulihkan kembali imej Jalan Petaling yang kini dikuasai oleh peniaga warga asing.

“Jangan kerana hendak senang kerja, penjaja di situ menyewakan kedai-kedai mereka kepada pendatang asing. Mereka juga lebih suka mengambil pekerja asing daripada rakyat Malaysia sendiri bekerja di situ sehingga menyebabkan Jalan Petaling berubah wajah kepada pasar malam warga asing.

“Saya juga mohon pihak-pihak yang berwajib agar memantau kehadiran peniaga warga asing yang meniaga di kawasan itu agar imej Jalan Petaling sebagai sebuah kawasan penjaja yang berimejkan rakyat Malaysia dapat dikembalikan semula.

“Jadi dalam hal ini, seharusnya Say Tee meneliti dulu sebab mengapa jualan penjaja di situ merosot dan janganlah secara semberono menuding jari dan menyalahkan GST,” ujarnya.