MELAKA, 28 Feb – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Idris Haron berpandangan siapa juga yang dinamakan sebagai calon oleh parti komponen untuk pilihan raya umum (PRU) ke-14 adalah tidak penting asalkan individu tersebut diyakini dapat membawa kemenangan kepada BN.

Pada masa sama, Idris yang juga Pengerusi UMNO negeri turut mengingatkan anggota parti agar tidak terlalu memikirkan soal pencalonan memandangkan BN perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan jentera parti selain meningkatkan perpaduan dalam kalangan komponen.

“BN perlu memastikan pekerja-pekerja parti yang diberikan peranan dan tugas pada PRU tahu fungsi dan tanggungjawab masing-masing, itu lagi penting daripada memikirkan soal calon,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar Isnin lepas yang antara lain menyatakan MCA, Gerakan dan MIC Melaka sudah mengesahkan keseluruhan 15 nama yang akan dipertaruhkan pada PRU14.

Gerakan Melaka turut mengumumkan Pengerusinya Datuk Chua Lian Chye akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bachang. Pada PRU lalu kerusi itu dimenangi Lim Jak Wong atas tiket DAP namun beliau kini menjadi wakil Bebas.

Melaka mempunyai 28 kerusi DUN dan enam kawasan parlimen. Pada PRU lalu UMNO bertandingn di 18 kerusi DUN, MCA (8) dan MIC serta Gerakan masing-masing satu kerusi.

Mengulas perkara lain, Idris yang juga Ketua Menteri Melaka berkata negeri itu akan menerima sebuah hospital pakar bernilai kira-kira RM150 juta hasil kerjasama kerajaan negeri dengan KPJ Healthcare Berhad (KPJ).

Hospital yang akan menyediakan kira-kira 400 katil itu akan dibina di atas kawasan seluas 1.6 hektar di Paya Rumput dan dijangka beroperasi pada penghujung 2019, katanya.

“Lokasi hospital itu juga agak strategik kerana berada kira-kira 800 meter dari Stadium Hang Jebat dan Tesco Cheng. Semoga pembinaan hospital ini akan memberikan manfaat kepda masyarakat di negeri ini,” katanya.