KAMPAR, 1 April – Sebanyak 88 projek akses jaringan komunikasi di bawah Program Negaraku: Menghubung Menyatu (CTU) telah dilaksanakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sehingga kini yang memberi manfaat kepada 489,000 penduduk di kawasan luar bandar seluruh negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKMM Shakib Ahmad Shakir berkata sembilan buah negeri iaitu Perak, Kedah, Terengganu, Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Sabah dan Sarawak telah dipilih bagi projek akses jaringan komunikasi itu sejak diperkenalkan pada 2016.

“Tujuan asal program CTU ini dilaksanakan adalah bagi memperkasakan masyarakat di kawasan pedalaman agar komuniti berkenaan mendapat akses kepada maklumat asas dan hiburan, perkhidmatan dan pendidikan dalam talian serta latihan kemahiran dan peluang-peluang menjana pendapatan melalui ekonomi digital.

“Bagi tahun ini, sebanyak 55 program CTU telah dirancang dan akan dilaksanakan di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada majlis Negaraku: Menghubung Menyatu @ Kampar yang dirasmikan Timbalan Menteri Kewangan Kedua Datuk Lee Chee Leong di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kampar di sini ,hari ini.

Dalam majlis tersebut, Lee turut menyampaikan bantuan kemudahan satelit penyiaran dan dekoder Astro Njoi berserta televisyen 32 inci kepada lima penerima terpilih yang merupakan penduduk miskin.

Selain itu Shakib berkata sebanyak 47 menara telekomunikasi telah dibina dan sebanyak 573 unit satelit penyiaran digital telah dipasang di rumah-rumah mereka yang layak.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu sebanyak 29 buah rumah di Perak telah dipilih untuk program baik pulih dengan 15 buah rumah telahpun siap sepenuhnya manakala baki masih dalam pelbagai status pelaksanaan.

Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Lee berkata program CTU dilaksanakan kerajaan pusat dilihat dapat memberi maklumat yang jelas tentang isu-isu semasa kepada penduduk yang tidak dihubungkan dengan capaian internet, radio dan televisyen.

“Ini bagi mencapai matlamat sebenar program CTU iaitu memberi capaian internet, televisyen, radio kepada sejuta rakyat yang terdiri daripada 216,000 isi rumah yang tinggal di 48 kawasan pedalaman terpilih seluruh negara menjelang 2020,” katanya.

Program CTU adalah program yang diusahakan di bawah payung Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang menyaksikan kerjasama KKMM dengan lain-lain kementerian, jabatan dan agensi bersama-sama pemain industri dalam sektor telekomunikasi serta penggerak-penggerak aktiviti masyarakat.