KUALA TERENGGANU, 1 April – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan 10 sebatan ke atas seorang lelaki atas kesalahan memiliki dadah, dua tahun lalu.

Ahmad Usman Nor Azmi, 28 yang mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut agak bernasib baik  kerana sebelum ini berdepan hukuman gantung sampai mati atas tuduhan mengedar dadah, tetapi hari ini pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan.

Tertuduh yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains didakwa memiliki dadah jenis  kanabis seberat 479.32 gram di dalam bilik sebuah rumah di Taman Sri Kolam, di sini pada 4 petang, 17 Dis 2016.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang 10 sebatan.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap.

Sementara itu dalam pertuduhan sama, rakan tertuduh, Nor Sofea Asyiqin Mahamood, 25, yang juga pelajar tahun empat  jurusan perubatan di sebuah universiti tempatan dilepas tanpa dibebaskan setelah pihak pendakwaan bersetuju menarik semula pertuduhan terhadapnya susulan representasi yang dikemukakan peguamnya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Hayyatuddin Muhamad.