BERA, 1 April – Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju supaya soal pemilihan parti diketepikan sementara bagi memberi tumpuan kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Ismail Sabri berkata perjuangan utama buat masa ini adalah untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) kerana semua perancangan untuk membantu rakyat hanya dapat diteruskan jika mereka tidak kehilangan kuasa pemerintahan.

“Tidak ada untungnya jika kita menang dalam pemilihan parti, tapi kalah pada pilihan raya. Itu adalah asas paling utama yang kita kena ingat. Saya harap semua anggota parti akan akur dengan perkara ini,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Briged Gempur Pemuda BN Parlimen Bera melibatkan 1,400 Pemuda BN di Dataran Kerayong di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bera Mohd Zoolihsan Ahmad.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan pemimpin dan anggota UMNO untuk mengetepikan seketika soal pemilihan parti dan memberi tumpuan penuh kepada PRU14, kerana ia menentukan soal kuasa pemerintahan.

Ismail Sabri menambah beliau optimis BN boleh mencapai kemenangan 4-0 di Parlimen Bera jika semua pihak bekerjasama dan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan individu.

Katanya, beliau berhasrat untuk ‘membirukan seluruh Parlimen Bera’ yang mana pada masa ini, BN hanya menang dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Guai dan Kemayan manakala DUN Triang dipegang DAP.

“Saya yakin pengundi Triang sudah melihat ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri) mereka gagal membawa sebarang perubahan, gagal membawa suara mereka ke peringkat tinggi dan gagal menyelesaikan masalah mereka.

“Mereka sudah berputus asa dan hilang keyakinan dengan ADUN mereka. Saya yakin kalau mereka mahu perkara ini berubah, mereka akan kembali kepada BN pada pilihan raya kali ini,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Pengerusi BN Bera mahu anggota parti berlapang dada dengan sesiapa sahaja calon yang mewakili BN pada pilihan raya akan datang supaya tidak timbul sebarang permasalahan yang boleh menjejaskan peluang untuk menang.

“Kalau kita letak kepentingan parti tidak akan timbul soal tidak puas hati. Perjuangan BN dan asas penubuhannya adalah untuk rakyat, jadi siapa yang bertanding adalah wakil rakyat bukan mewakili individu,” katanya.

Ismail Sabri menambah perkara itu membezakan BN daripada parti-parti lain seperti PKR yang diasaskan kerana mahu membela Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ekoran perasaan tidak puas hati Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.