SEREMBAN, 24 April – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menasihati calon-calon BN yang terpilih untuk bertanding di dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 ini agar menjaga tutur kata dan perbuatan supaya ia tidak dijadikan modal untuk dimanipulasikan pihak pembangkang menjelang PRU yang akan berlangsung pada 9 Mei ini.

Menurut beliau, perkara ini amat penting memandangkan pihak pembangkang sentiasa sahaja menanti dan memerhati sebarang kesilapan calon-calon BN untuk mereka manipulasikan sebagai modal dan senjata untuk menyerang BN.

“Elak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh dijadikan sebagai peluru untuk menembak kita. Mereka ini begitu bernafsu untuk menjatuhkan kita, maka calon-calon BN yang terpilih mestilah berhati-hati dalam setiap perbuatan dan kenyataan menjelang PRU ini.

“Mereka boleh saja memanipulasikan perkara-perkara tertentu untuk dijadikan isu, apatah lagi sewaktu pilihan raya ini, manusia boleh menjadi hyper sensitif dengan sesuatu isu itu. Jadi elakkan diri kita daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu gugat fokus kita untuk menghadapi PRU yang hanya kira-kira 16 hari lagi sahaja,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di majlis penyampaian watikah kepada calon-calon BN di kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan, Seremban semalam.

Beliau juga menegaskan bahawa setiap ahli, jentera, pemimpin dan juga calon-calon BN hendaklah bersatu tenaga dalam mencapai kemenangan dalam PRU ke-14 ini dan jangan berpecah belah.

“Kita tidak lama lagi akan menghadapi piliahn raya, upamanya kini, kita sedang berlari 400 meter dan kita sudah mendahului pesaing kita sehingga ke 10 meter terakhir untuk ke garisan penamat. Janganlah di saat 10 meter terakhir ini, kita tiba-tiba habis stamina atau pun kita hilang fokus sehingga pihak lawan pula memotong kita.

“Perkara ini jika berlaku amat malang sekali, kerana kita sudah lama membuat kerja. Jadi janganlah di selekoh terakhir ini, kita membiarkan musuh memintas kita. Ini kerana, dari segi kaca mata kasar saya, BN mempunyai kekuatan.

“Jadi kita perlulah terus mempertahankan kekuatan kita kerana pihak pembangkang boleh memanipulasikan beberapa isu yang boleh menyebabkan kekuatan kita menjadi goyah dan lemah. Justeru saya berharap, mereka yang telah diberi mandat untuk mewakili parti, hendaklah bekerja kuat bersama-sama untuk memastikan kemenangan BN bukan sahaja di Negeri Sembilan, tetapi juga di seluruh negara,” tegasnya lagi.-MediaUMNO