PUTRAJAYA, 24 April – Anggota UMNO yang bertanding atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan digugurkan keanggotaannya serta merta, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ketika memberi amaran itu hari ini, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) turut meminta mereka yang tidak terpilih sebagai calon supaya tidak terlalu mengikut hati selain memahami Perlembagaan UMNO serta konsep wala’ dan tabayyun yang diamalkan parti.

“Kita bermuzakarah, berbincang dan bertukar-tukar fikiran barulah kita dapat calon yang kita kehendaki. Itulah konsep yang selalu kita laung-laungkan iaitu kita wala’ dan tabayyun.

“Wala’ iaitu mengikut apa yang ketua kita telah putuskan dan tabayyun dengan bersama-sama untuk memastikan keputusan ketua dapat dilaksanakan,” katanya mengulas desas-desus Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi akan bertanding sebagai calon Bebas selepas tidak disenaraikan sebagai calon BN pada PRU14.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengedarkan 9,000 kad PutraPay kepada pelajar, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas di Putrajaya Sentral di sini hari ini, yang membolehkan mereka menaiki bas Nadiputra secara percuma dimana-mana laluan bas berkenaan selama setahun.

Tengku Adnan Berkata beliau juga telah menulis surat kepada semua parti komponen BN tiga minggu lepas mengenai isu sabotaj dalam kalangan parti komponen terhadap calon-calon yang diketengahkan.

“Kita sedang memantau setiap kawasan melalui naziran di seluruh negara. Sesiapa yang membuat onar kita akan pasti mengambil tindakan,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian terhadap khabar angin mengenai rancangan untuk mensabotaj calon BN di Parlimen Wangsa Maju, Datuk Seri Yeow Teing Look (MCA) dan calon Parlimen Bandar Tun Razak, Adnan Abu Seman (UMNO).

“Di Wangsa Maju kita sedang meneliti dan barangkali perhubungan negeri akan mengambil alih segala tugasan di bahagian itu kerana kita mendengar desas-desus ada unsur untuk mensabotaj calon MCA yang akan mewakili BN.

“Begitu juga di Bandar Tun Razak, saya juga telah berbincang dengan pihak MCA, kita dengar ada pihak MCA yang hendak sabotaj calon UMNO yang dipilih bertanding di kawasan itu. Kita akan ambil tindakan,” tegasnya.

Pada Ahad lepas, Tengku Adnan yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan berkata keputusan meletakkan calon UMNO bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dan memulangkan semula kerusi Parlimen Wangsa Maju kepada MCA dibuat setelah melakukan beberapa perkiraan dari segi strategi.

Dalam pada itu, beliau berkata tiada isu pertukaran calon BN pada saat akhir akan berlaku memandangkan surat tauliah telah diberikan kepada calon yang diumumkan.

Mengenai kad PutraPay, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata jumlah itu akan ditingkatkan kepada 12,000 penerima pada tahun depan sebagai satu daripada usaha mengurangkan kos sara hidup golongan tersebut.