KUALA LUMPUR, 24 April – Pelaksanaan manifesto Barisan Nasional (BN) adalah berlandaskan realiti dengan penambahan sebanyak RM3 bilion hasil minyak negara menyebabkan kerajaan Malaysia mampu untuk menaikkan kadar BR1M sepertimana yang dinyatakan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, demikian menurut Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Nor Adam.

Kata beliau, sebab itulah, ketika belanjawan 2018 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun lalu, kerajaan masih mengekalkan tahap pemberian BR1M, namun dengan kenaikan harga minyak pada tahun ini, kerajaan mempunyai lebihan untuk meningkatkan kadarnya kepada rakyat.

“Ada yang bertanyakan kepada saya, mengapa ketika pembentangan belanjawan pada tahun lepas untuk 2018, kerajaan tidak menaikkan kadar BR1M. Saya jelaskan di sini, pada ketika itu, kita menganggarkan harga minyak dunia pada tahap USD52 satu tong, namun ketika Datuk Seri Najib membentangkan manifesto baru-baru ini, harga minyak dunia telah meningkat kepada USD62 satu tong.

“Ini bermakna, kita ada kelebihan USD10 untuk satu tong minyak. Untuk setiap kenaikan USD1, pendapatan negara akan bertambah kepada RM300 juta. Jadi jika naik USD10, bermakna kita ada RM3 bilion tambahan pendapatan negara. Jadi dengan kenaikan RM3 bilion tambahan ini, membolehkan kita menaikkan kadar BR1M sepertimana yang diumumkan di dalam manifesto BN baru-baru ini.

“Penambahan tersebut juga turut melibatkan skala gaji yang baru di mana rakyat Malaysia yang berpendapatan antara RM4 ribu hingga ke RM5 ribu. Ini dapat dilaksanakan dengan wujudnya pendapatan tambahan ekoran kenaikan harga minyak,” ujarnya dalam satu temuramah eksklusif bersama UMNO-Online di sini.

Jelas beliau, sekiranya BN menang dalam PRU-ke 14 ini,  setiap anak-anak penerima BR1M ini akan mendapat bantuan RM1500 apabila mereka mendapat surat tawaran daripada mana-mana IPTA dan IPTS untuk menyambung pelajaran.

“Ini antara perkara-perkara yang akan dilaksanakan oleh kerajaan BN yang mampu meningkatkan pendapatan kepada rakyat. Jadi inilah antara manfaat untuk rakyat yang direncanakan oleh kerajaan BN bagi menebalkan dompet rakyat dalam jangkamasa lima tahun akan datang.

“Jadi kepada rakyat di seluruh negara, berilah sokongan dan mandat kepada BN untuk terus mentadbir negara di mana segala perancangan dan janji-janji yang telah dilontarkan melalui manifesto BN ini, insya-Allah akan dapat dan mampu untuk dilaksanakan sekiranya kerajaan BN kembali memerintah selepas PRU ke-14 ini,” jelasnya lagi.