KOTA BHARU, 24 April – Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra bertitah institusi Raja memiliki peranan dan tanggungjawab yang cukup signifikan dalam menentukan kestabilan dalaman sesebuah negara.

Baginda bertitah ketaatan dan kesetiaan menjadi semboyan mengiringi penyatuan antara raja dan rakyat bagi menangkis gejala buruk ditimbulkan segelintir pihak yang berhasrat untuk menyanggah amalan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

“Peranan raja dan institusi beraja semakin diperlukan untuk menjadi penenang kepada kekalutan, menjadi penyembuh kepada kesakitan dan menjadi penawar kepada kedukaan.

“Dengan itu, institusi raja pada setiap ketika tidaklah boleh bersifat partisan. Dengan berkecuali dalam keadaan berlakunya krisis, institusi raja berupaya memberi nasihat, teguran dan pandangan yang mencerminkan keadilan tanpa berpihak,” titah baginda pada Majlis Penjawat Awam Persekutuan dan Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad.

Baginda dalam titahnya menegaskan bahawa amat penting bagi raja berada di atas segala polemik untuk membolehkan institusi raja berperanan secara adil lagi saksama.

Dalam titahnya, baginda turut mengingatkan penjawat awam supaya tidak sewenang-wenangnya terlibat dengan sebarang perkara bersifat partisan selaras dengan Perkara (21), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Penjawat awam merupakan tulang belakang kepada sesebuah kerajaan seharusnya bertanggungjawab melaksanakan segala dasar yang digubal kerajaan demi untuk kepentingan seluruh rakyat negeri ini.

“Sesungguhnya bagaimana baik sekalipun sesuatu dasar dibuat, ia tidak akan bermakna atau mendatangkan sebarang manfaat kepada rakyat jika pelaksanaannya tidak cekap dan kurang berkesan,” titah baginda.

Baginda turut bertitah agar semua penjawat awam berkhidmat di Kelantan sentiasa peka dan bersedia mendengar masalah dihadapi rakyat dan berusaha menjayakan program-program yang diatur oleh kerajaan.

“Penjawat awam adalah jentera kerajaan yang memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat beta. Ini kerana pegawai dan kakitangan kerajaanlah bertanggungjawab melaksanakan segala dasar digubal kerajaan demi untuk kepentingan rakyat,” titah baginda.

Bagi mempertingkatkan produktiviti dan keupayaan penjawat awam negeri, baginda bertitah supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat mengkaji dan menyegerakan naik taraf beberapa perjawatan utama negeri bagi meningkatkan mutu sistem penyampaian perkhidmatan di negeri itu dengan lebih berkesan.

Baginda turut bertitah agar kewujudan Jabatan Integriti Nasional di peringkat persekutuan dan Unit Intergriti di peringkat negeri memainkan peranan penting dalam meningkatkan nilai-nilai murni bagi melahirkan penjawat awam yang bersih daripada sifat-sifat pecah amanah, penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah.

“Beta juga menyarankan supaya Jawatankuasa Perhubungan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam memberi kepentingan kepada rakyat Kelantan khasnya.

“Diharapkan jawatankuasa ini dapat memberi impak berkesan dan memperkukuh lagi hubungan peringkat pusat dan negeri dalam membangunkan negeri beta ini,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan persekutuan yang mewujudkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kelantan yang banyak memberi kemudahan kepada rakyat, selain diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai perkhidmatan kerajaan terbaik kerana mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan.