KUALA LUMPUR, 24 April – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat agar tidak menjadi ejen kerosakan dengan menyebarkan fitnah dimainkan pembangkang pada musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Beliau menegaskan bahawa penyebaran fitnah boleh memporak-perandakan hubungan persahabatan dan kekeluargaan malah, lebih teruk lagi, mampu bawa kehancuran serta kebinasaan kepada negara.

“Ini bukan kali pertama saya post perkara ini, tapi di musim pilihan raya ini semakin teruk fitnah-fitnah dilontarkan pembangkang, bagaikan #TsunamiPHitnah.

“Jadi, saya ingin ingatkan sekali lagi, usahlah kita jadi tali barut dan kuda tunggangan golongan tak bertanggungjawab ini,” katanya menerusi laman Twitter beliau hari ini.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional turut memuat naik sekeping gambar yang memaparkan kononnya 15 juta sarung jari plastik dibekalkan pada PRU14 untuk membolehkan pemilih mengundi banyak kali.

Sambil menyifatkan fitnah itu sebagai ‘jahat’, gambar itu sebaliknya menjelaskan sarung jari berkenaan bukanlah seperti yang didakwa tetapi ia merupakan jari palsu untuk mereka yang terpotong jari terutama dalam kes gangster ‘Yakuza’ di Jepun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Mei sebagai hari pengundian bagi PRU14 dan 28 April sebagai hari penamaan calon sementara pengundian awal ialah pada 5 Mei.