KOTA BHARU, 24 April – PAS Kelantan mungkin terpaksa menaikkan kadar cukai di negeri ini jika mahu melaksanakan setiap janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dilancarkan semalam, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kadar cukai tersebut terpaksa dinaikkan bagi menampung janji-janji itu berikutan kedudukan kewangan kerajaan negeri yang lemah.

“Selain itu, kemungkinan sebahagian besar janji-janji ini tidak akan dapat ditunaikan. Ini bermakna rakyat Kelantan akan terus ditipu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, PAS Kelantan melancarkan manifesto bagi negeri itu, dan antara tawarannya adalah mendaulatkan agama Islam dengan memperkasa perundangan Syariah, pembangunan Islam dalam aspek perbandaran, memperkasa institusi pondok, menaikkan kadar elaun imam serta bilal dan memperkasa sektor pelancongan Islam.

Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata manifesto PAS Kelantan itu menyerlahkan ketidakupayaan parti tersebut dalam membawa Kelantan mendepani cabaran hari ini dan pada masa akan datang.

“Pertama, PAS Kelantan mendiamkan diri dalam isu-isu utama yang sering dibangkitkan rakyat seperti pembalakan dan kadar percukaian membebankan. Mereka menuduh Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) membebankan tetapi dalam diam sebelum ini, antara lainnya menaikkan kadar cukai dan premium tanah. Ini satu hipokrasi dan ketidaksediaan kerajaan PAS untuk menangani keluhan yang dizahirkan rakyat.

“Kedua, PAS Kelantan gagal menawarkan pelan ekonomi yang jelas untuk memacu Kelantan khususnya lima tahun ke hadapan dan tahun-tahun seterusnya. Dua aspek utama perlu diberi perhatian untuk mengubah landskap ekonomi Kelantan bagi jangka panjang adalah penglibatan sektor swasta dan pelaburan, tetapi ini tidak diambil kira mereka,” katanya.

Beliau berkata PAS juga mendendangkan janji lama seperti perancangan bandar baharu sedangkan janji terdahulu seperti Bandar Baharu Dabong dan Pulai Chondong hanya tinggal janji yang masih segar dalam ingatan rakyat Kelantan.

“Manifesto PAS Kelantan ini langsung tidak menyentuh soal masyarakat Orang Asli serta kaum minoriti. Adakah PAS Kelantan benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan kepentingan semua pihak?

“Saya percaya rakyat Kelantan dapat menilai manifesto ditawarkan PAS kali ini secara objektif. Ia jauh berbeza dengan manifesto BN yang memilih untuk menangani masalah-masalah utama yang membelenggu rakyat Kelantan dengan segera dan menawarkan penyelesaian terhadap cabaran-cabaran jangka pendek dan panjang,” katanya.