KUALA LUMPUR, 24 April – Berikut adalah kenyataan penuh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah yang dikeluarkan hari ini berhubung penggunaan bahan kempen semasa tempoh berkempen bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Penggunaan Bahan Kempen Semasa Tempoh Berkempen Bagi PRU14

1. Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebagai badan yang bertanggungjawab menjalankan fungsi pengurusan pilihan raya ingin memaklumkan bahawa tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan bermula pada 28 April 2018 hingga 8 Mei 2018 tertakluk kepada adanya pertandingan di bahagian pilihan raya yang berkenaan.

2. Bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan peraturan berkempen, SPR telah menubuhkan 445 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) di seluruh negara. Fungsi utama PP-KPR adalah seperti yang berikut:
(i) Membuat rondaan dan memantau aktiviti berkempen oleh calon/ejen pilihan raya atau parti politik;
(ii) Menurunkan bahan kempen yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954;
(iii) Meminta bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberhentikan ucapan/ ceramah/ syarahan oleh calon/ejen pilihan raya atau parti politik yang tidak mendapat permit daripada pihak Ketua Polis Daerah; dan
(iv) Mengawal dan menyelaras pelaksanaan mana-mana aktiviti berkempen.

3. Dalam memastikan aktiviti kempen oleh pihak-pihak yang bertanding berlangsung dengan aman dan lancar serta tidak mengelirukan pengundi, SPR telah membuat penyelarasan semula terhadap dasar sedia ada dengan mewujudkan syarat-syarat tambahan berkaitan penggunaan bahan-bahan kempen.

4. SPR menyeru agar setiap calon atau parti politik yang bertanding supaya tidak berkempen dengan cara yang boleh menimbulkan hasutan, permusuhan, mengembangkan perasaan jahat dan sebagainya selaras dengan Seksyen 4A, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

5. Justeru, semua pihak termasuk pemimpin dan penyokong parti politik serta calon-calon yang bertanding diminta untuk mematuhi undang-undang, peraturan, tataetika dan arahan-arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh SPR, PDRM atau pihak berkuasa yang lain. SPR berharap semua aktiviti berkempen pada PRU14 akan berjalan dengan lancar serta tidak mengganggu ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Sekian dan terima kasih.

TAN SRI MOHD HASHIM BIN ABDULLAH
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)