SEGAMAT, 24 April – Ibarat menunggu buah yang tidak akan gugur, itulah ungkapan yang sesuai digunakan bagi mengambarkan kekecewaan hati segelintir pengundi Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah.

Sebilangan pengundi yang ditemui Bernama berkata mereka seolah-olah ditipu ‘hidup-hidup’ oleh wakil rakyat yang dipilih lima tahun lepas apabila gagal menunaikan manifesto yang dilaungkan secara lantang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Apa guna berjanji kalau tidak dapat tunaikan… sudah hampir lima tahun kami tunggu namun bayang mereka (wakil rakyat parti pembangkang) pun susah nak nampak, ” kata seorang penduduk, Tan Se Huat ketika ditemui di sebuah kedai kopi hari ini.

Petani berusia 65 tahun itu berkata rata-rata pengundi Jementah telah serik untuk memberi kepercayaan kepada calon parti pembangkang itu yang hanya menjadi wakil rakyat bermusim dan hanya mucul apabila musim PRU sahaja.

“Mereka (wakil rakyat) kerja ikut sedap hati mereka sahaja..bila rasa nak turun, baru turun berjumpa pengundi dan mereka lupa bahawa majikan mereka adalah pengundi di sini,” katanya.

Tan berkata pada PRU kali ini, pengundi Cina tidak ingin melakukan kesilapan yang sama dilakukannya dahulu, sebaliknya akan memilih wakil rakyat yang sanggup bekerja kuat untuk rakyat.

“Tak kira calon mana sekalipun yang diumumkan oleh MCA, saya hanya akan pangkah simbol ‘Dacing’ sahaja kerana hanya parti ini yang membela nasib pengundinya,” katanya ketika diminta mengulas mengenai muka baharu, Chiam Yeo Meng yang akan bertanding di kerusi DUN Jementah.

Turut berkongsi pendirian yang sama, Tan Chin Hwa yang berkata dia kecewa dengan wakil rakyat DAP yang hanya bercakap kosong namun tidak menunaikan walaupun satu janji semasa PRU ke-13.

“Tiada apa yang mereka lakukan untuk Jementah, saudara boleh lihat sendiri pekan Jementah sama seperti lima tahun lepas, mereka hanya baiki jalan dan longkang sahaja.

“(Tetapi) lain-lain pembangunan yang ada di sini seperti pembinaan dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jementah adalah merupakan sumbangan dan usaha yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi Anggota Parlimen Segamat Datuk Seri Dr S Subramaniam dan juga MCA Jementah yang sentiasa berusaha membela nasib rakyat,” kata pesara berusia 60 tahun itu.

Sementara itu, Lam Kao Teu berkata hanya wakil rakyat BN dan pemimpin MCA yang banyak membantu penduduk Jementah dalam memberi pelbagai kemudahan berbentuk khidmat masyarakat seperti pinjaman modal kepada usahawan muda, membaiki rumah yang rosak serta membantu golongan kurang bernasib baik.

“Dr Subramaniam hampir setiap minggu turun ke Jementah. Jika beliau tidak dapat turun, maka beliau akan hantar pegawainya sebagai wakil,” kata ejen insurans berusia 56 tahun itu

Ia berbeza dengan wakil rakyat parti pembangkang yang seolah-olah tidak wujud di Jementah apabila mereka langsung tidak ambil peduli baik pengundi Cina, Melayu ataupun India di sini.

“Apapun berlaku saya akan tetap memilih BN pada PRU ke-14 ini kerana parti ini sahaja yang mampu membawa perubahan pembangunan di Jementah yang setelah lama ketinggalan dalam arus pembangunan berbanding di tempat lain dalam Parlimen Segamat,” katanya.

Beliau berkata sekiranya Jementah berjaya ditawan oleh BN, sebagai anak jati Jementah beliau berharap kerajaan akan membina kilang di sini bagi mewujudkan lebih banyak peluang perkerjaan kepada anak muda.

Dia turut memuji Pelan Tindakan Pembangunan Ekonomi Segamat (SEDAP) 2018-2023 yang diumumkan oleh Dr Subramaniam baru-baru ini yang disifatkan akan mendatangkan banyak ‘tuah’ kepada masyarakat Segamat khususnya di Jementah.

“Pembangunan infrastruktur, pelancongan eko dan agro dan pembangunan pusat biomass adalah antara tawaran manifesto yang dinanti-nantikan masyarakat Jementah kerana ia dilihat bersesuaian dengan Jementah yang terkenal dengan aktiviti ekonomi berasaskan pertanian.

“Dengan adanya rancangan seperti ini, ia akan membuka lebih banyak ruang perniagaan berasaskan pertanian di Jementah serta meningkatkan nilai hasil pertanian seperti limau bali, pisang, durian dan lain-lain di sini,” katanya.

Pada PRU13, wakil DAP Tan Chen Choon mengalahkan wakil BN Dr Lee Hong Tee dengan majoriti 2,196 undi.